SEOUL: Seorang lelaki berusia 49 tahun disiasat kerana didakwa meracun isteri dan dua anak lelakinya sebelum memandu kenderaan mereka ke dalam laut.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa maut, manakala hanya suspek yang terselamat.
Pegawai dari Balai Polis Gwangju Bukbu memaklumkan, menahan suspek kira-kira 9.09 malam Isnin di Gwangju.
Suspek dipercayai memandu kereta yang membawa keluarganya ke perairan berhampiran pelabuhan Jindo, kira-kira 1.12 pagi Ahad.
Pengawal Pantai Korea menemukan kenderaan yang tenggelam itu kira-kira 7.20 malam Isnin dan mayat ketiga-tiga mangsa tanpa sebarang kecederaan fizikal.
Apabila mendapati tempat duduk pemandu kosong dan satu tingkap terbuka, pihak berkuasa mengesyaki pemandu melarikan diri dan berjaya mengesannya.
Ia kemudian mendedahkan seorang guru di sekolah menengah anaknya melaporkan kehilangan mangsa sekitar 2.22 petang Isnin selepas gagal menghubungi.
Dalam proses mencari pelajar tersebut, polis mendapati abang serta ibu bapanya juga turut hilang.
Suspek, yang dikenal pasti sebagai pekerja binaan, memberitahu pihak polis bahawa dia menghadapi tekanan kewangan akibat bebanan hutang.
Polis kini merancang untuk memohon waran tangkap terhadap suspek dan turut menyiasat seorang kenalan yang disyaki membantu dalam cubaan melarikan diri.


































