WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ‘memberi nasihat perkahwinan’ kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron susulan satu rakaman video tular yang menunjukkan isterinya, Brigitte Macron, menampar wajahnya di hadapan kamera ketika tiba di Vietnam minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, klip video tersebut memaparkan detik memalukan apabila Brigitte, yang juga bekas guru Macron, secara tiba-tiba menyentuh wajah suaminya sejurus mereka membuka pintu pesawat rasmi, sebelum melangkah turun untuk memulakan lawatan rasmi ke Asia Tenggara.
Ketika sidang media perpisahan bersama Ketua DOGE yang meletak jawatan, Elon Musk, wartawan Fox News, Deter Doocy bertanya kepada Trump, “Adakah anda mempunyai nasihat rumah tangga dari pemimpin kepada pemimpin?”
“Pastikan pintu sentiasa tertutup,” katanya yang mengundang gelak ketawa hadirin di dalam Oval Office.
Trump, yang sudah berkahwin sebanyak tiga kali, turut mengulas mengenai insiden itu.
“Itu bukan sesuatu yang baik. Saya telah bercakap dengannya (Macron). Dia baik-baik sahaja. Mereka berdua baik. Saya kenal mereka dengan baik, dan saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.
Rakaman video insiden berkenaan menunjukkan Macron berdiri menghadap Brigitte dengan wajah yang serius sebelum tangan Brigitte kelihatan ‘menampar’ muka suaminya, sekali gus mencetuskan spekulasi pelbagai pihak.
Macron kelihatan terkejut namun segera berpaling ke arah pintu pesawat yang terbuka dan melambai ke arah kamera yang menanti di bawah.
Mereka berdua kemudian turun dari pesawat bersama, namun Brigitte memilih untuk memegang palang tangga berbanding tangan suaminya memperlihatkan kemungkinan wujud ketegangan di antara mereka sebelum keluar dari kabin.
Video tersebut segera tular dan menjadi tajuk utama pelbagai media antarabangsa yang cuba mentafsirkan apa sebenarnya berlaku di sebalik pintu pesawat rasmi Perancis itu namun Macron menafikan dakwaan mereka sedang bertengkar, sebaliknya menjelaskan ia hanyalah satu gurauan antara suami isteri.


































