WASHINGTON: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) percaya Presiden Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping, akan berbincang bagi menyelesaikan isu dagangan, termasuk pertikaian mengenai mineral kritikal.
Menurut Utusan Malaysia, Scott Bessent berkata, perbincangan itu dijangka diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan kedua-dua negara tidak mahu melanjutkan pertikaian perdagangan yang tercetus.
“Tindakan China menahan produk penting untuk rantaian bekalan industri di India dan Eropah tidak boleh dipercayai.
“Saya yakin perkara ini akan dapat diselesaikan apabila Trump dan Jinping berbincang melalui telefon, namun hakikat beberapa produk dipersetujui untuk dilepaskan semasa perjanjian masih disekat, mungkin kerana gangguan sistem China yang disengajakan.
“Kita akan tahu selepas Trump berbual dengan Jinping,” katanya dalam temu bual bersama rancangan Face the Nation terbitan CBS.
Sebelum ini, Trump mendakwa China melanggar sepenuhnya perjanjian perdagangan yang dimeterai dengan AS hanya dua minggu selepas perjanjian tersebut dicapai.
“Saya membuat perjanjian pantas dengan China untuk selamatkan mereka daripada situasi yang saya jangka menjadi sangat buruk.
“Semua orang gembira, itulah berita baik. Berita buruknya ialah China sudah melanggar sepenuhnya perjanjian dengan AS,” tulis Trump dalam Truth Social.
Trump juga menyatakan beliau yakin akan berbual dengan Jinping, manakala China pada April lalu, pula menyatakan kedua-dua pemimpin itu belum mengadakan perbualan.
Perang perdagangan ini bermula apabila Trump mengenakan tarif 10 peratus terhadap semua import dari China pada Februari yang kemudiannya memuncak pada musim bunga.
Kadar tarif dinaikkan kepada 20 peratus pada Mac sebelum Trump mengenakan tarif setinggi 145 peratus bag barangan dari China. Sebagai tindak balas, China pula mengenakan tarif 125 peratus untuk produk AS.


































