Pasukan penyelidik memerhati beberapa ekor labah-labah yang dijangkiti pada bahagian bumbung dan dinding gua Whitefathers di Ireland.
Pasukan saintis Eropah menemukan spesies kulat baharu yang mampu mengubah labah-labah gua menjadi seperti ‘zombi’.
Menurut Utusan Malaysia, kulat ini dilaporkan dapat menarik labah-labah keluar dari sarangnya sebelum membunuh dan kemudian menggunakan tubuh serangga yang mati itu untuk menyebarkan sporanya.
Spesies baharu yang dinamakan Gibellula attenboroughii ini berfungsi seperti kulat zombi pada semut dan dipercayai mampu mengawal tingkah laku mangsanya supaya bergerak ke tempat yang lebih sesuai bagi penyebaran sporanya.
Penemuan unik ini diterbitkan pada 24 Januari lalu dalam jurnal Fungal Systematics and Evolution.
Namun begitu, cara sebenar kulat ini mempengaruhi otak labah-labah masih belum difahami sepenuhnya dan banyak persoalan tentang laluan evolusi serta kesan ekologi kulat ini masih belum terjawab.
Ahli Mikologi Muzium Sejarah Semula Jadi Denmark yang juga Pensyarah di Universiti Copenhagen Dr. Joao Araújo berkata, penemuan ini membuka peluang baharu untuk kajian lanjut tentang kulat yang mampu mengawal haiwan, serta menyerlahkan kepelbagaian kulat yang masih belum diterokai.
“Kita sudah tahu tentang semut, tebuan dan beberapa contoh lain. Tetapi kali ini ia datang daripada kelompok haiwan berbeza, jadi ini adalah asal-usul baharu bagi manipulasi tingkah laku,” katanya.
Kulat Gibellula attenboroughii merupakan sebahagian daripada kumpulan kulat yang khusus menjangkiti labah-labah.
Dalam kajian terdahulu pada November 2022, spesies Gibellula aurea di Brazil juga didapati mungkin mampu mempengaruhi labah-labah untuk bergerak ke bawah daun sebelum mati.
Namun, kesannya tidak sejelas yang dilihat pada penemuan terbaharu ini.
Setakat ini, kulat Gibellula attenboroughii hanya dikesan menjangkiti dua spesies labah-labah gua iaitu Metellina merianae dan Meta menardi, yang lazimnya ditemui di Eropah.
Penemuan pertama kulat aneh ini berlaku secara tidak sengaja pada 2021, apabila satu kru televisyen menemuinya semasa penggambaran di sebuah bilik simpanan serbuk bedil lama di Castle Espie Wetland Centre, County Down, Ireland Utara.
Mereka melihat seekor labah-labah berada di tempat terbuka dan jauh dari sarangnya sebelum mati, mencadangkan kemungkinan perubahan tingkah laku akibat jangkitan kulat.
Kajian lanjut mendapati lebih banyak labah-labah dijangkiti kulat ini di gua-gua di Ireland dan Ireland Utara, kesemuanya ditemui dalam posisi terbuka pada dinding atau siling gua.
Kejadian itu sekali gus menguatkan teori kulat ini mempengaruhi tingkah laku labah-labah sebelum ia mati.
“Kemampuan kulat menjangkiti haiwan dan kemudian mengubah tingkah laku haiwan itu untuk membantu sporanya tersebar adalah sesuatu yang sangat menarik,” kata Pakar Ekologi Deria
Labah-Labah Cornell University di New York, Dr. Jay Stafstrom yang tidak terlibat dalam kajian ini.
Buat masa ini, para penyelidik belum mengenal pasti secara tepat bagaimana kulat ini berfungsi atau sebatian kimia apa yang dilepaskan dalam otak labah-labah.
Namun mereka mengandaikan kulat ini mengarahkan labah-labah keluar ke kawasan terbuka supaya sporanya dapat disebarkan dengan bantuan aliran udara.
Walaupun kesannya terhadap ekosistem masih belum diketahui, Araújo tidak melihat sebarang ancaman besar terhadap populasi labah-labah yang terjejas.
Beliau dan pasukannya akan terus mengkaji kumpulan kulat ini untuk memahami hubungan antara spesies, asal usul serta bagaimana ia berevolusi.
Pengetahuan ini mungkin membawa kepada kegunaan dalam pertanian atau perubatan.
“Bayangkan, kulat yang mampu mengawal tingkah laku labah-labah, apa sebatian yang ia lepaskan ke dalam otak?
“Ini boleh menjadi petunjuk penting untuk penyakit seperti Alzheimer atau masalah neurodegeneratif lain. Mungkin ada harapan di situ,” ujar Araújo.


































