Wajah Beethoven yang distruktur semula oleh seorang saintis Brazil, Cicero Moraes.
BONN: Hampir dua abad selepas kematiannya, wajah sebenar komposer muzik legenda, Ludwig van Beethoven, akhirnya didedahkan melalui rekonstruksi saintifik.
Menurut Utusan Malaysia, saintis forensik dari Brazil, Cicero Moraes berjaya menghasilkan rekonstruksi wajah pertama Beethoven berdasarkan struktur tengkoraknya.
Rekonstruksi ini dilakukan dengan menggunakan foto tengkorak asal Beethoven yang diambil pada tahun 1863 oleh Johann Batta Rottmayer, serta data ukuran yang dikumpul pada tahun 1888.
Menurut Moraes, proses rekonstruksi dimulakan dengan membuat lakaran dua dimensi dari sudut hadapan dan sisi berdasarkan foto tengkorak.
Kemudian, beliau menghasilkan model 3D tengkorak menggunakan imbasan tomografi maya daripada penderma yang dipadankan dengan nisbah foto asal.
Beliau turut menambah penanda ketebalan tisu lembut berdasarkan data fisiologi rakyat Eropah, menganggarkan bentuk hidung dan membentuk profil wajah secara terperinci.
Segala unjuran ini kemudian digabungkan untuk membentuk wajah asas Beethoven.
Setelah struktur wajah siap, Moraes menambah unsur subjektif seperti gaya rambut dan pakaian berdasarkan potret terkenal Beethoven yang dilukis oleh Joseph Karl Stieler pada tahun 1820.
Perincian terakhir seperti tekstur kulit disempurnakan dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Walaupun tengkorak Beethoven tidak sempurna sepenuhnya akibat potongan pasca kematian pada tahun 1827, hasil rekonstruksi ini dikatakan sangat mirip dengan acuan wajah yang dibuat ketika hayatnya.


































