Donald Trump
HAMILTON: Donald Trump mengumumkan kenaikan drastik terhadap tarif import keluli dan aluminium, berkali ganda berbanding kadar biasa iaitu dari 25 kepada 50 peratus.
“Kita akan melaksanakan kenaikan 25 peratus. Kita akan naikkan dari 25 peratus kepada 50 peratus bagi tarif import keluli ke Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjamin industri keluli di negara ini.
“Tiada siapa yang dapat mengatasinya (tarif tersebut),” kata Presiden AS itu ketika berucap dalam perhimpunan di US Steel di Pittsburg, Pennsylvania.
Menurut Utusan Malaysia, Trump berkata, peningkatan itu bertujuan merapatkan jurang yang digunakan pesaing asing untuk mengelak tarif terdahulu.
Beliau berkata, pelabur dalam sektor keluli di negara ini masih dapat menghadapi kadar tarif 25 peratus, tetapi dengan kadar 50 peratus, mereka tidak mampu.
Pengumuman itu dibuat semasa memorandum persefahaman dimeterai antara US Steel dengan Nippon Steel dari Jepun.
Menyifatkan Nippon Steel sebagai rakan kongsi yang hebat, Trump memaklumkan Jepun adalah rakan baiknya sepanjang beliau menjadi Presiden.
Nippon akan melabur sebanyak AS$2.2 bilion bagi meningkatkan pengeluaran keluli di Mon valley Works.


































