PRAID: Lombong garam Praid di Romania, salah satu rizab garam terbesar di Eropah, kini berdepan ancaman kemusnahan, susulan banjir besar yang melanda kawasan itu.
Menurut Utusan Malaysia, bencana itu sekali gus menjejaskan sektor pelancongan yang menarik ratusan ribu pengunjung setiap tahun.
Pihak berkuasa menutup lombong tersebut apabila banjir terburuk dalam tempoh 30 tahun di daerah Harghita, tengah Romania, menyebabkan sungai berhampiran melimpah dan membanjiri sebahagian kawasan lombong.
Menurut pegawai tempatan, banjir itu turut mengancam sumber pendapatan penduduk di bandar Praid yang bergantung kepada pelancongan berpusat di sekitar lombong garam selama beberapa dekad.
“Masalah yang menimpa lombong garam ini boleh membawa akibat buruk kepada seluruh rantau,” kata ketua akauntan Syarikat Garam Nasional S.A. cawangan Praid, Csongor Zsombori.
Sementara itu, sebahagian lombong masih menghasilkan garam dengan kapasiti tahunan sekitar 70,000 hingga 100,000 tan metrik.
Datuk Bandar Praied, Laszlo Nyagrus berkata, pelombong mengeluarkan peralatan dan jentera mereka, dan kini berusaha untuk memelihara bahagian lain yang belum pernah dibuka kepada orang ramai sebelum ini.
“Mereka sedang cuba menyelamatkan kawasan ini, dengan membina saluran air dan empangan bagi melindunginya, supaya sekurang-kuranya bahagian ini tidak rosak,” katanya.


































