SYDNEY: Kebimbangan terhadap penularan semula wabak Covid-19 kembali memuncak di Australia selepas varian baharu yang merebak luas di China, Taiwan dan Hong Kong kini dikesan di negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, varian yang dikenali sebagai NB.1.8.1 itu pertama kali direkodkan pada 21 Januari lalu dan dimasukkan dalam senarai pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 23 Mei.
Hasil ujian rasmi terhadap sampel air kumbahan mendapati varian tersebut kini merebak di Australia Barat, kawasan yang juga merupakan destinasi pelancongan popular dalam kalangan pelancong luar termasuk warga Britain.
Menurut laporan, varian NB.1.8.1 berkemungkinan menjadi punca kepada lonjakan 24 peratus kes harian di negeri tersebut minggu lalu, dengan purata 38 kes baharu setiap hari direkodkan.
Bukan sahaja di Australia, varian tersebut turut dikesan di Amerika Syarikat (AS), termasuk melalui ujian saringan di beberapa lapangan terbang utama serta komuniti di Hawaii, Rhode Island dan Ohio.
Dalam kenyataan rasmi, WHO menjelaskan varian itu lebih mudah berjangkit berbanding strain sebelumnya, namun tidak menunjukkan tanda-tanda menyebabkan gejala yang lebih serius.
“Meskipun terdapat peningkatan kes dan kemasukan ke hospital di beberapa negara di mana NB.1.8.1 telah tersebar luas, data semasa tidak menunjukkan varian ini menyebabkan penyakit yang lebih teruk,” menurut kenyataan WHO pada Jumaat lalu.
Antara gejala utama yang dikaitkan dengan varian ini termasuk batuk, sakit tekak, loya, pening, hilang selera makan, penglihatan kabur, keletihan, sukar menumpukan perhatian serta demam panas berpanjangan, kebanyakannya sama seperti gejala varian Covid-19 yang pernah dikesan sebelum ini.


































