Ganja dalam bentuk perubatan mampu mengurangkan sehingga 40 peratus rasa sakit penghidap kanser.
LONDON: Datuk Bandar London, Sadiq Khan mencetuskan kontroversi apabila menyatakan sokongan terhadap kebenaran penggunaan ganja, sambil menyifatkan undang-undang sedia ada terhadap dadah itu sebagai ‘tidak dapat dipertahankan’.
Menurut Utusan Malaysia, Khan berkata, satu laporan hasil dapatan Suruhanjaya Dadah London (LDC) yang ditubuhkan oleh beliau pada tahun 2022 menyatakan undang-undang sedia ada berkaitan ganja tidak seimbang, selain mendakwa penguatkuasaan undang-undang itu lebih tertumpu kepada kumpulan etnik tertentu, sekali gus mencetuskan ketegangan antara pihak polis dan masyarakat terbabit.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu tidak mencadangkan dekriminalisasi secara menyeluruh, sebaliknya mengesyorkan supaya penggunaan ganja “semula jadi” dipindahkan dari Akta Penyalahgunaan Dadah kepada Akta Bahan Psikoaktif.
Cadangan itu secara efektif akan menghalalkan pemilikan dalam kuantiti kecil untuk kegunaan peribadi, namun masih mengekalkan larangan terhadap pengimportan, pengeluaran dan pengedaran dadah tersebut.
Tindakan Khan itu mendapat kecaman hebat daripada jurucakap keselamatan parti pembangkang, Chris Philp, yang menyifatkannya sebagai satu perjudian bahaya terhadap keselamatan bandar raya London.
“Tindakan memiliki ganja tidak patut didekriminalisasi begitu sahaja. Kita telah lihat bandar-bandar di Amerika Syarikat dan Kanada yang musnah akibat dasar lembut terhadap dadah berbahaya kini Sadiq Khan mahu membawa London ke arah yang sama,” kata beliau.
Beliau berkata, ganja dikaitkan dengan kelakuan antisosial dan penyalahgunaannya secara berterusan boleh menyebabkan psikosis serius serta masalah kesihatan mental yang parah.
Sementara itu, Khan yang mula memegang jawatan sebagai Datuk Bandar sejak 2016 berkata, laporan itu wajar diberi perhatian oleh pihak kerajaan di Downing Street.
“Laporan Suruhanjaya Dadah London ini mengemukakan satu hujah berasaskan fakta yang kukuh untuk menyemak semula pendekatan terhadap pemilikan ganja semula jadi dalam kuantiti kecil. Ia menyatakan bahawa hukuman sedia ada tidak seimbang jika dibandingkan dengan tahap bahaya sebenar ganja serta pengalaman mereka yang berdepan sistem keadilan,” katanya.
Beliau turut menekankan sudah tiba masanya pendidikan, penjagaan kesihatan serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan dan adil dilaksanakan dalam isu berkaitan penggunaan ganja.
Mengikut undang-undang sedia ada di Britain, ganja diklasifikasikan sebagai Dadah Kelas B, dan sesiapa yang didapati memiliki bahan itu boleh dikenakan denda atau hukuman penjara.


































