RIYADH: Mahkamah Agung Arab Saudi pada Selasa mengumumkan 1 Zulhijjah 1446H jatuh pada hari ini, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Ia turut mengumumkan hari Wukuf di Arafah jatuh pada Khamis, 5 Jun, manakala Jumaat, 6 Jun, akan menjadi hari pertama Aidiladha.
Menurut Utusan Malaysia, keputusan tersebut dibuat oleh Bahagian Cerap Anak Bulan Mahkamah Agung dalam sesi pada petang Selasa, selepas meneliti keterangan yang dikemukakan beberapa saksi berhubung penampakan anak bulan Zulhijjah.
Kerajaan Arab Saudi turut mengumumkan cuti seminggu sempena Aidiladha bagi semua pekerja sektor awam dan swasta.
Terdahulu, Jemaah Menteri Arab Saudi meneliti persiapan untuk musim Haji tahun ini, selepas pengumuman Mahkamah Agung.
Jemaah menteri berkata, semua pihak berkuasa berkaitan sedang beroperasi dengan tahap kecekapan, kualiti dan integrasi tertinggi.
Usaha itu bagi memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah, disokong oleh projek pembangunan serta infrastruktur moden negara, yang meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memudahkan pelaksanaan ibadah untuk jemaah dari seluruh dunia.


































