Donald Trump
NEW JERSEY: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan akan menangguhkan pelaksanaan tarif 50 peratus terhadap Kesatuan Eropah (EU) sehingga 9 Julai ini.
Menurut Utusan Malaysia, keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen.
Trump sebelum ini mengugut untuk mengenakan tarif tinggi itu seawal 1 Jun, menegaskan rundingan bersama EU berkaitan tarif terdahulu tidak menunjukkan kemajuan.
“Von der Leyen baru sahaja menghubungi saya dan beliau meminta tarikh 1 Jun dilanjutkan serta menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan serius dan saya bersetuju dengan permintaan itu,” kata Trump.
Von der Leyen sebelum ini berkata, beliau mengadakan perbualan yang baik dengan Trump, namun untuk mencapai perjanjian yang kukuh, pihaknya memerlukan masa sehingga 9 Julai ini.
“Eropah bersedia untuk meneruskan rundingan dengan pantas dan tegas,” kata beliau yang mengetuai blok yang mengendalikan dasar perdagangan bagi 27 negara anggota EU itu.
Brussels dan Washington kini dalam proses rundingan bagi mengelakkan perang perdagangan rentas Atlantik dan sebelum ini bersetuju untuk menangguhkan sebarang tindakan tarif sehingga Julai.
Namun, ugutan Trump pada Jumaat lalu meningkatkan ketegangan secara mendadak.
Trump turut mendakwa tidak mencari perjanjian dengan EU dan mengulangi pandangannya bahawa blok tersebut ditubuhkan untuk mengambil kesempatan terhadap AS.
Menteri Kewangan Jerman, Lars Klingbeil turut menyuarakan keperluan untuk mengadakan rundingan serius dengan Washington dan memaklumkan sudah berbincang dengan rakan sejawatnya dari AS, Scott Bessent berhubung perkara itu.
“Kita tidak perlukan provokasi lanjut sebaliknya perlukan rundingan yang serius,” katanya kepada akhbar Bild.
Klingbeil memberi amaran, tarif AS akan membahayakan ekonomi Washington sendiri selain memberi kesan kepada ekonomi Jerman dan Eropah.
Trump sebelum ini mengenakan tiga set tarif ke atas EU iaitu 25 peratus ke atas besi, aluminium dan kenderaan serta levi timbal balik sebanyak 20 peratus ke atas semua import yang kini digantung sementara menunggu hasil rundingan, walaupun jumlah asas 10 peratus masih berkuat kuasa.
Brussels turut mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif ke atas barangan AS bernilai hampir 100 billion euro (RM479 bilion) sekiranya rundingan gagal mencapai kesepakatan.


































