LONDON: Dunia penerbangan kecoh minggu ini apabila beberapa syarikat penerbangan tambang murah dijangka memperkenalkan kerusi ‘berdiri sahaja’ yang membolehkan penumpang bersandar tanpa duduk sepenuhnya, satu langkah yang dijangka dilaksanakan seawal tahun 2026.
Menurut Utusan Malaysia, rekaan tempat duduk berbentuk pelana basikal dengan lapik lembut itu direka bagi membolehkan lebih ramai penumpang diangkut dalam satu-satu masa, sekali gus menurunkan kos operasi dan tambang.
Walaupun konsep ini janggal, ia bukan satu-satunya rekaan kerusi pelik yang mencuri tumpuan sejak kebelakangan ini.
Pada Februari lalu, syarikat pengeluar pesawat gergasi, Airbus, dilaporkan bekerjasama dengan syarikat pemula dari Sepanyol, Chaise Longue, dalam pembangunan kerusi dua tingkat untuk pesawat komersial.
Rekaan itu menampilkan susunan kerusi dalam dua lapisan, satu baris di atas pelantar tinggi, dan satu baris lagi pada paras biasa secara berselang-seli.
Penumpang di bahagian atas akan menikmati kebebasan untuk menyandar tanpa mengganggu sesiapa di belakang, manakala penumpang di bahagian bawah pula mendapat ruang kaki yang lebih luas namun, rekaan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial, termasuk kebimbangan terhadap ‘arus udara tidak diingini’ dalam ruang kabin.
Pengasas Chaise Longue, Alejandro Núñez Vicente, mempertahankan rekaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai permulaan era baharu dalam pengalaman penerbangan.
Menurut Vicente, pihaknya kini dalam peringkat awal eksplorasi bersama Airbus dan terbuka untuk bekerjasama dengan syarikat penerbangan lain disamping turut menafikan dakwaan rekaan itu akan menjejaskan keselesaan penumpang.
Rekaan itu menarik minat beberapa syarikat penerbangan termasuk Emirates, dengan konsep pemilihan tempat duduk sama ada di tingkat atas atau bawah.
Penumpang tingkat bawah dijangka mendapat ruang kaki tambahan dan boleh menyimpan barang di bawah kerusi dengan lebih mudah, namun perlu berdepan dengan kerusi tinggi di hadapan mereka sebaliknya, penumpang tingkat atas mempunyai lebih ruang untuk menyandar tetapi ruang kaki yang lebih terhad.
Vicente menegaskan beliau bukan mahu menghapuskan terus tempat duduk pesawat biasa, sebaliknya mencadangkan model campuran dengan kerusi dua tingkat diletakkan di tengah kabin dan diapit oleh barisan tempat duduk konvensional.


































