LONDON: Peminat anak patung tular, Labubu meluahkan kemarahan selepas syarikat pengeluar Pop Mart menarik balik jualan mainan itu daripada semua 16 cawangannya di United Kingdom (UK) sehingga Jun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pop Mart berkata, tindakan itu diambil untuk mengelakkan sebarang isu keselamatan susulan insiden pergaduhan dan kekecohan di kebanyakan cawangannya akibat permintaan yang tinggi.
Seorang peminat, Victoria Calvert mengakui menyaksikan kekacauan di cawangan Stratford di London.
“Orang ramai bergaduh dan menjerit, situasinya menakutkan. Saya melihat ada yang beratur sejak 3 pagi malah, ada yang berkhemah semalaman.
“Saya menyaksikan pergaduhan antara pekerja kedai dan pelanggan dan akhirnya saya membuat keputusan meninggalkan kawasan itu kerana rasa tidak selamat,” katanya kepada BBC.
Labubu, watak raksasa comel ciptaan artis Hong Kong, Kasing Lung menjadi fenomena selepas dipopularkan selebriti seperti Rihanna dan Dua Lipa serta tular di TikTok.
Harga mainan ini di UK bermula dari 13.50 hingga 50 pound (RM77 hingga RM286) tetapi edisi terhad boleh mencecah ratusan pound di laman jualan semula seperti eBay dan Vinted.
Pop Mart mengakui situasi pembelian kini tidak terkawal dan akan memperkenalkan sistem jualan yang lebih adil serta teratur apabila Labubu kembali ke rak bulan depan.
Namun, ramai peminat menyalahkan golongan reseller, mereka yang membeli dalam jumlah besar untuk dijual semula sebagai punca utama menyebabkan kekecohan dan kenaikan harga.
“Ada pembeli yang menjual semula satu patung Labubu pada harga 100 pound (RM573), ini tak masuk akal. Golongan reseller merosakkan segalanya,” komen peminat di laman Instagram.
Pakar pasaran dari Hargreaves Lansdown, Susannah Streeter berkata, strategi Pop Mart seperti jualan terhad dan sistem ‘blind box’ mencetuskan keterujaan berlebihan.
Namun, beliau juga memberi amaran penangguhan jualan ini boleh menyebabkan permintaan meningkat dan pembelian dari laman semula, di mana Labubu palsu juga banyak dijual.


































