Dr. Ramzah Dambul
KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) dengan kerjasama Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) dan Pejabat Daerah Ranau, akan menganjurkan program “Memperkasa Usahawan Muda Wanita Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi” di Dewan Masyarakat Ranau pada Sabtu, 17 Mei ini.
Ranau telah dipilih sebagai lokasi kedua dalam Siri Jelajah Keusahawanan Wanita Muda selepas kejayaan penganjuran pertama di Beaufort pada 26 April 2025. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkasa wanita muda sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi berasaskan komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul menyifatkan program ini sebagai satu komitmen jangka panjang dalam memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan akar umbi
“Kita bukan sekadar melatih usahawan muda, tetapi mencetus gelombang baharu transformasi ekonomi luar bandar yang diterajui wanita muda. Di Ranau, kita ingin menekankan bahawa wanita muda bukan sekadar menyokong ekonomi, malah menjadi agen perubahan dan pertumbuhan mampan dalam komuniti mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Program ini akan menampilkan sesi perkongsian ilmu dan motivasi bersama beberapa usahawan tempatan yang berjaya. Antara topik yang akan diketengahkan termasuklah keusahawanan sosial berasaskan nilai komuniti, pembangunan perniagaan pelancongan yang berdaya saing, penghasilan aksesori etnik kontemporari melalui koperasi kraf, serta kepentingan pemasaran digital bagi perusahaan kecil.
Selain itu, para peserta akan diperkenalkan dengan Skim Pembiayaan DAYANG, satu inisiatif pembiayaan yang ditawarkan oleh PPS khusus untuk membantu wanita muda memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.
Majlis penutupan akan disempurnakan oleh Menteri Kewangan Negeri yang juga ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun yang turut akan menyampaikan ucaptama.
Wanita muda yang berminat dalam bidang keusahawanan di Ranau dan kawasan sekitar digalakkan hadir dan merebut peluang ini untuk menimba ilmu, membina rangkaian, serta mendapatkan pelbagai bentuk sokongan keusahawanan. Penyertaan adalah percuma.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, sila hubungi Penyelaras Program, Fiona V. Loijon melalui emel di fiona.loijon@ids.org.my atau hubungi 088-450 500.






























