Julita Majungki
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan bahawa parti-parti tempatan perlu diberikan kepercayaan untuk menjadi teras kepada kepimpinan Kerajaan Negeri menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Ini penting bagi memastikan masa depan Sabah dibentuk berdasarkan aspirasi rakyat sendiri, dengan keutamaan terhadap kestabilan, kecekapan dan keadilan dalam pentadbiran.
Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki berkata, parti-parti tempatan mempunyai kekuatan tersendiri hasil kefahaman mendalam terhadap realiti kehidupan masyarakat Sabah yang berbilang kaum, berbeza geografi dan kaya dengan budaya.
“Parti tempatan lahir daripada akar umbi rakyat Sabah. Kepimpinan yang dekat dengan denyut nadi masyarakat membolehkan dasar yang digubal benar-benar menyentuh keperluan rakyat. Ini penting bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan negeri,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa antara kelebihan parti tempatan termasuk:
* Keupayaan merancang pembangunan yang menepati konteks Sabah;
* Kepekaan terhadap isu-isu setempat seperti hak adat, pemilikan tanah, dan kemudahan luar bandar;
* Keputusan yang boleh dibuat lebih pantas tanpa kebergantungan melampau kepada struktur luar; dan
* Komitmen memperjuangkan hak dan keistimewaan Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Pemimpin tempatan lebih memahami cabaran sebenar rakyat dan mampu merangka penyelesaian yang realistik serta berkesan. Parti-parti tempatan bukan sahaja mampu mentadbir dengan cekap, tetapi juga mampu memacu Sabah ke arah masa depan yang lebih mampan dan progresif,” tambah beliau.
Sehubungan itu, PBS menyokong penuh kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bahawa parti-parti tempatan harus menjadi tonggak kepada Kerajaan Negeri termasuk sekiranya perlu bertanding secara solo dalam PRN17. Selaras dengan itu, beliau menyifatkan GRS sebagai platform terbaik dan paling terbukti untuk merealisasikan hasrat ini.
Sokongan ini konsisten dengan pendirian PBS sejak penubuhannya, iaitu memperjuangkan suara rakyat Sabah menerusi kepimpinan yang lahir dari bumi sendiri.
“Kenyataan Pengerusi GRS adalah satu pengiktirafan terhadap kekuatan dan peranan penting parti-parti tempatan. PBS menyambut baik seruan ini dan akan terus komited memainkan peranan aktif ke arah memperkukuh Kerajaan Negeri yang stabil, bersatu dan berorientasikan rakyat,” ujarnya.
PBS turut menyeru seluruh rakyat Sabah, khususnya golongan muda dan masyarakat luar bandar, agar menjadikan PRN17 sebagai peluang untuk memilih kepimpinan yang benar-benar memahami, mendengar dan berkhidmat dengan ikhlas demi kemajuan negeri tercinta.
“Inilah masanya kita berdiri teguh sebagai rakyat Sabah. Parti tempatan bukan sekadar pilihan, ia satu keperluan untuk menjamin masa depan negeri yang adil, makmur dan berdaulat, dan GRS adalah wadah terbaik ke arah itu,” katanya.