Jalan Salib di Bukit Paranggi, Tenghilan
TENGHILAN: Ratusan umat Katolik dari sekitar daerah Tenghilan berhimpun seawal jam 6.00 pagi di perkarangan Chapel Our Lady Of The Rosary, Kampung Lapai Tenghilan sebelum memulakan upacara ibadat Jalan Salib (Way of the Cross) yang diadakan di Bukit Paranggi, di sini, pagi tadi.
Upacara rohani ini merupakan sebahagian daripada persiapan menyambut Jumaat Agung dan seterusnya Hari Raya Easter, yang memperingati pengorbanan dan kebangkitan Yesus Kristus dalam kepercayaan Katolik.
Antara yang hadir dalam ibadat ini adalah golongan warga emas, dewasa, belia serta kanak-kanak yang hadir bersama ahli keluarga masing-masing, membuktikan semangat kesatuan dan keimanan yang mendalam dalam kalangan komuniti Katolik di kawasan ini.
Sebelum memulakan perjalanan mendaki bukit, para peserta terlebih dahulu mengikuti doa persiapan secara beramai-ramai di Chapel berkenaan, membangkitkan suasana hening dan penuh penghayatan.
Jalan Salib adalah satu bentuk devosi (ibadat) dalam tradisi Gereja Katolik yang memperingati penderitaan dan kematian Yesus Kristus ketika memikul salib menuju ke Bukit Golgota.
Ia terdiri daripada 14 perhentian atau stesen, yang setiap satunya melambangkan peristiwa tertentu dalam perjalanan sengsara Yesus – daripada saat Dia dijatuhi hukuman mati, sehingga dikuburkan.
Setiap stesen disertai dengan doa, bacaan renungan dan nyanyian yang membawa umat menghayati makna pengorbanan Yesus.
Di sesetengah tempat, termasuk di Bukit Paranggi ini, stesen-stesen Jalan Salib dibina secara fizikal di sepanjang laluan mendaki, memberi ruang kepada para peserta untuk lebih menyelami pengalaman rohani tersebut.
Ibadat ini bukan sekadar satu upacara sembahyang tahunan, tetapi juga satu bentuk aktiviti rohani untuk memperbaharui iman, merenungi penderitaan manusia, dan memupuk semangat kesabaran serta belas kasihan – selaras dengan ajaran Yesus.
Jalan Salib di Bukit Paranggi ini berakhir sekitar jam 9.30 pagi dengan doa penutup yang dipimpin oleh Katekis.
Upacara ini sekali lagi membuktikan kekuatan dan kesatuan umat Katolik di Tenghilan dalam memperingati misteri iman mereka, serta kesediaan untuk terus hidup dalam semangat kasih, pengorbanan dan harapan.