TANGKAK: Seorang warga emas kerugian RM445,000 selepas diperdaya seorang pengamal perubatan tradisional atau bomoh semasa mendapatkan rawatan keluarganya didakwa diganggu makhluk halus.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib berkata, lelaki berusia 70 tahun itu ditawarkan khidmat rawatan tradisional dan telah menyerahkan wang tunai dan barangan kemas kepada suspek berjumlah kira-kira RM445,000.
“Wang tunai dan barang kemas berkenaan diserahkan antara Mac hingga April. Mangsa percaya rawatan itu adalah sahih kerana suspek merupakan kenalannya,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan.
Roslan menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya serta membuat semakan terlebih dahulu apabila menerima sebarang tawaran agar tidak menjadi mangsa penipuan.
































