Isnin (kanan) berbincang dengan Pegawai Khasnya sebelum Persidangan DUN bermula hari ini.
KOTA KINABALU: Kerja-kerja pembinaan Pasar Karamunting yang terletak di Tanah Merah telah mendapat kelulusan pelantikan kontraktor baru-baru ini, kata Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih.
Beliau berkata, kerja-kerja awalan di tapak telah bermula pada awal April 2025.
Isnin berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, sebagai menjawab soalan dikemukakan oleh Alias Sani (Sekong) yang ingin tahu mengapa kerja pembinaan Pasar Karamunting masih belum dimulakan.
Menjawab satu lagi soalan daripada Alias yang bertanya sama ada kementerian menjalankan penguatkuasaan dan semakan semula terhadap penghuni rumah PPR Taman Gum-Gum Jaya, PPR Taman Murni, dan PPR Batu Putih serta bilangan lot yang masih tersedia untuk dipohon, Isnin berkata Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa ke atas Program Perumahan Rakyat (PPR).
“Berikutan itu, kerja-kerja pemutihan sedang giat dijalankan bagi menangani pelanggaran syarat seperti sewaan semula (sublet), penggunaan sebagai rumah transit dan tunggakan bayaran sewa melebihi tiga bulan,” katanya.
Bagi PPR Taman Murni, Isnin memaklumkan bahawa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah menjalankan penguatkuasaan dan mendapati terdapat lapan unit yang kosong.
Sementara itu, bagi PPR Taman Batu Putih, pemantauan telah dijalankan sebanyak dua kali pada tahun 2024 dan sekali pada tahun 2025, namun setakat ini tiada unit yang kosong.
“Bagi PPR Taman Gum-Gum Jaya, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan, dan sebanyak enam unit telah dikosongkan serta sedia untuk diisi,” tambahnya.
































