Aziah Puteh menunjukkan rumah dua tingkat yang didiami selama lebih 30 tahun musnah dalam tragedi paip gas Putra Heights di Kampung Kuala Sungai Baru, Selangor.
SUBANG JAYA: “Saya lari tanpa henti dalam keadaan masih terasa bahang panas, sedar-sedar saya sudah berada di Sungai Klang.”
Menurut Utusan Malaysia, demikian luahan mangsa letupan paip gas di Putra Heights, Aziah Puteh Azib, 55, yang terpaksa berlari sejauh 700 kilometer dari Kampung Kuala Sungai Baru demi menyelamatkan diri.
Katanya, ketika kejadian dia sedang berehat di tingkat atas rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat serta angin kencang yang disangkakan puting beliung.
“Mula-mula angin datang seperti puting beliung, kemudian bahang panas mula terasa sehingga mencairkan selipar anak buah saya yang juga cuba menyelamatkan diri.
“Saya terus melarikan diri dalam keadaan panik, masih terasa panas di badan dan akhirnya hanya berhenti apabila rasa panas itu semakin berkurangan.
“Bila saya tengok sekeliling, saya sudah berada di Sungai Klang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kata Aziah, rumah dua tingkat didiami selama lebih 30 tahun itu kini musnah sepenuhnya dan tinggal tangga konkrit serta struktur bawah rumah sahaja.
“Jika diikutkan, jumlah kerugian boleh mencecah sehingga RM500,000, namun pejabat tanah memaklumkan saya hanya layak menuntut maksimum RM150,000 sahaja,” katanya.


































