Dr. Dzulkefl y Ahmad
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini di peringkat akhir perbincangan penetapan kadar baharu caj konsultasi atau bayaran perundingan pengamal perubatan am (GP) swasta.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefl y Ahmad berkata, semakan melibatkan bayaran perundingan di bawah Jadual 7 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang sepatutnya dikemas kini serentak dengan semakan Jadual 13 pada penggal pertama 2019.
“Kami sedang dalam proses perbincangan dengan DOSM untuk menentukan kadar yang sesuai berdasarkan data yang ada.
“Buat masa ini, bayaran perundingan GP swasta adalah antara RM10 hingga RM35 dan kami akan buat pengumuman dalam waktu terdekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, Kementerian Kesihatan sedang menyemak semula caj konsultasi doktor di klinik swasta yang tidak pernah disemak sejak 32 tahun lalu.
Semakan caj konsultasi yang terakhir pada tahun 2006 itu dijangka memberi kesan kepada kira-kira 10,300 klinik perubatan swasta yang berdaftar di bawah Akta 586 setakat September 2023.
Selain itu, hospital dan klinik swasta akan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka bermula 1 Mei ini, selaras dengan dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan.
Dr. Dzulkefly dilaporkan berkata, cadangan itu tidak mendapat bantahan daripada Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), namun masih terdapat kebimbangan dalam kalangan GP swasta yang meminta kelonggaran dalam pelaksanaannya.
Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sudah memberikan sokongan serta pengesahan terhadap usaha menyemak semula Jadual 7.
“Saya juga sudah mendapat sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, NACCOL dan Kementerian Kewangan. Insy-Allah dalam waktu yang terdekat, perkara ini akan diputuskan,” katanya.
Dr. Dzulkefly berkata, kerajaan akan menyemak semula Jadual 7 di bawah Akta 586 bagi memastikan ketelusan dalam paparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta mulai 1 Mei ini.
Katanya, satu Memorandum Jemaah Menteri berkaitan perkara itu akan dibentangkan pada April depan.
“Saya menjangkakan sokongan penuh daripada klinik pada 1 Mei nanti untuk bersama-sama melaksanakan paparan harga ubat.
“Inisiatif ini bertujuan membolehkan rakyat dan pesakit mendapatkan maklumat yang jelas dalam membuat keputusan berkaitan rawatan,” katanya.


































