Keadaan kebakaran di Pekan Kundasang malam tadi. – Ihsan Bomba
KUNDASANG: Sebanyak lapan premis, termasuk tiga kedai runcit, dua inap desa, satu blok rumah sewa dengan 11 pintu, serta satu setor penyimpanan barang runcit, musnah dalam kebakaran di Pekan Kundasang malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 8.37 malam dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau segera menggerakkan satu pasukan ke lokasi kejadian, yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai.
Pasukan tiba di tempat kejadian pada jam 8.56 malam dan segera melaksanakan operasi pemadaman.

Komander Operasi, PBK II KUP Juanie @ Girin Dullah dan 15 anggota dibantu oleh pelbagai agensi lain termasuk PDRM (7 anggota), APM (7 anggota), dan SE (2 anggota).
Operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 900 kaki dengan tiga pancutan serta sumber air daripada jentera dan pili bomba.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 10.09 malam sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.52 tengah malam. Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini.
Kebakaran melibatkan tiga kedai runcit jenis tidak kekal berkeluasan 10×20 kaki persegi, dua rumah inap desa jenis tidak kekal berkeluasan 26×36 kaki persegi, satu blok rumah sewa 11 pintu jenis tidak kekal berkeluasan 100×350 kaki persegi, serta satu setor penyimpanan barang runcit jenis tidak kekal berkeluasan 30×50 kaki persegi, yang semuanya terbakar 100 peratus.
Operasi ini diketuai oleh PPgB Ridwan Mohd. Taib, yang juga Ketua BBP Ranau.


































