Pasukan bomba membantu mangsa banjir berpindah ke PPS. – Ihsan Bomba
BEAUFORT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu memindahkan tujuh mangsa banjir ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di sini malam tadi.
Mangsa yang dipindahkan ke PPS terdiri daripada dua lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort menerima panggilan kecemasan mengenai insiden banjir di Kampung Pintas, Beaufort pada jam 10 malam tadi.
Satu pasukan yang terdiri daripada enam anggota segera digerakkan ke lokasi kejadian, yang terletak 7 kilometer dari BBP.
Diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Irwan Abdul, dengan Komander Operasi Kanan, PPgB Mohammad Hasbullah Nenggok, pasukan tiba di lokasi pada jam 10.07 malam dan mendapati lapan mangsa terperangkap akibat banjir.
Operasi pemindahan mangsa segera dijalankan menggunakan sebuah lori, sebuah kenderaan Revo dan sebuah bot.
Selepas memastikan kesemua mangsa berjaya dipindahkan ke PPS SMK Beaufort 3, operasi ditamatkan pada jam 10.20 malam.


































