Operasi memindahkan mangsa di Tenom. – Ihsan Bomba
TENOM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang giat menjalankan operasi pemindahan mangsa akibat bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, panggilan kecemasan mengenai kejadian banjir pada jam 11.29 pagi, dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom segera digerakkan ke lokasi.
Jentera tiba di tempat kejadian pada 11.51 pagi, dengan kekuatan 10 anggota yang diketuai oleh Komander Operasi PBK II, Shahril Sulaiman.
Setakat ini, seramai 23 mangsa telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dengan butiran seperti berikut:
* Jalan RTM, Tenom – 13 orang dipindahkan
* Kg. Makakumpai, Tenom – 10 orang dipindahkan
* Kg. Pansailon Paguokon Laut, Tenom – Pemindahan masih dalam proses
Operasi ini melibatkan penggunaan dua bot dan sebuah kenderaan jenis Vigo untuk memudahkan pemindahan mangsa yang terperangkap di kawasan banjir.
JBPM Sabah terus memantau keadaan dan bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.


































