Azizah bergambar bersama ahli-ahli jawatankuasa Meja Bulat dalam IDS.
KOTA KINABALU: Penyertaan wanita Sabah dalam sektor ekonomi, sosial dan politik masih rendah serta memerlukan strategi dan perancangan kukuh bagi memperkasakan peranan mereka dalam kepimpinan dan pembangunan negeri.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Disember 2024 menunjukkan penyertaan wanita dalam jawatan pengurusan meningkat kepada 25.4 peratus pada 2023, berbanding 23.8 peratus pada tahun sebelumnya.
Namun, di Sabah, hanya 28 peratus jawatan Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dipegang oleh wanita, menunjukkan keperluan untuk usaha yang lebih tersusun dan berstrategi bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam sektor korporat.
“Sebaliknya, 69.3 peratus pemilik perniagaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) adalah wanita. Ini menunjukkan dominasi wanita dalam sektor keusahawanan, tetapi masih wujud pertindihan dalam pendaftaran usahawan wanita di bawah pelbagai agensi. Oleh itu, penting untuk mewujudkan pangkalan data yang lebih sistematik bagi menyokong pertumbuhan perniagaan wanita secara lebih strategik,” katanya ketika berucap dalam program Perbincangan Meja Bulat Mengenai Penglibatan Wanita di Peringkat Pengurusan Syarikat GLC dan Pemilikan dalam Sektor Swasta di sini, kelmarin.
Turut hadir, Ketua Bahagian Ekonomi Akar Umbi IDS, Masmidah Arsah; wakil CEO IDS, Dr Ramzah Dambul; serta ahli-ahli jawatankuasa meja bulat.
Azizah menegaskan bahawa usaha pemerkasaan wanita tidak boleh bergantung kepada inisiatif sektor individu atau syarikat semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan di peringkat dasar dan polisi kerajaan.
“Antara langkah yang boleh diambil termasuk mewujudkan ekosistem lebih menyokong penyertaan wanita dalam kepimpinan. Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh kedudukan wanita sebagai pemimpin dalam sektor korporat dan profesional.
“Dalam Belanjawan 2025, beberapa inisiatif telah diperkenalkan bagi memperluaskan peluang wanita dalam sektor ini, termasuk Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) yang bertujuan melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam dunia korporat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, inisiatif Returnship turut diperkenalkan bagi membantu wanita kembali ke dunia pekerjaan selepas berehat untuk menguruskan keluarga atau komitmen lain.
Bagi memastikan lebih ramai wanita dapat memegang jawatan strategik dalam syarikat GLC dan sektor swasta, Azizah menyarankan supaya dasar dan polisi berkaitan diperkukuh dengan komitmen daripada pucuk pimpinan kerajaan.
“Malah, semua pihak perlu menyediakan lebih banyak program latihan dan bimbingan (mentorship) bagi membolehkan wanita membina kemahiran kepimpinan yang kukuh.
“Selain itu, dasar kerja fleksibel juga perlu diwujudkan bagi menyokong keseimbangan antara kerjaya dan keluarga, membolehkan wanita terus produktif dalam pasaran kerja.
“Kita juga perlu menggalakkan kesaksamaan gender dalam sektor korporat, termasuk memberikan insentif kepada syarikat yang mengamalkan kepelbagaian dalam kepimpinan mereka,” katanya.
Azizah menegaskan bahawa perubahan tidak akan berlaku dalam sehari, tetapi dengan usaha berterusan, matlamat meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang sosial, politik, dan ekonomi akan tercapai.
“Dengan mengambil inspirasi daripada inisiatif Kerajaan dan suara pemimpin wanita, kita dapat mempercepatkan usaha memastikan wanita mendapat tempat sewajarnya dalam kepimpinan,” katanya.


































