PETALING JAYA: Polis menerima 32 laporan dengan kerugian mencecah RM1.39 juta berkaitan program pelaburan saham didakwa didalangi oleh lelaki bergelar Datuk.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi tempoh 19 Januari lalu hingga kelmarin, pihaknya sudah menerima 32 laporan polis membabitkan dakwaan penipuan pelaburan membabitkan sebuah syarikat dengan kerugian lebih RM1.39 juta.
Menurutnya, sejumlah 15 kertas siasatan sudah dibuka mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu membabitkan nilai kerugian berjumlah RM638,205.
“Siasatan awal mendapati syarikat ini ditubuhkan pada 24 Februari 2022 dan memiliki dua pengarah syarikat termasuk Datuk terbabit yang dilantik sebagai pengarah syarikat pada 10 Mei 2022.
“Kesemua kertas siasatan masih dalam siasatan pihak polis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Ramli berkata, semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat itu mempunyai modal berbayar RM6.9 juta dan 179 pemegang saham membabitkan 175 individu dan empat syarikat.
“Daripada 15 kertas siasatan dibuka 11 mangsa berdaftar sebagai pemegang saham,” katanya.
Media semalam melaporkan seramai 65 individu tampil membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa ditipu individu bergelar Datuk berhubung pelaburan saham membabitkan kerugian kira-kira RM2.5 juta.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, syarikat serta individu terbabit disyaki menawarkan program pelaburan saham biasa kepada pelabur awam tanpa sebarang prospektus dikeluarkan oleh pihak syarikat.
“Syarikat individu berpengaruh itu dikatakan menawarkan program pelaburan biasa (pre-IPO) yang disifatkan meragukan dan tidak melakukan sebarang aktiviti pelaburan seperti dimaklumkan kepada mangsa,” katanya.




























