Arifin ketika ditemui media di DBP Cawangan Sabah.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan meneruskan inisiatif Sumbangsih Bahasa dan Sastera Sabah (SELASIH) yang diperkenalkan tahun lalu bagi memberi sokongan kepada persatuan-persatuan penulisan kreatif di Sabah tahun ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, SELASIH akan mula disalurkan selepas April ini dan selain persatuan penulis, bantuan itu turut diberikan kepada badan yang bergiat dalam bidang sastera dan bahasa yang berdaftar di Sabah.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dengan adanya SELASIH, persatuan-persatuan penulis di Sabah berjaya menghasilkan buku-buku dan melaksanakan kegiatan-kegiatan sastera yang memberi impak kepada gerakan bahasa dan sastera Sabah khasnya dan Malaysia amnya.”Sumbangan SELASIH kita sediakan biasa RM10,000 untuk setiap persatuan, pada tahun lalu ada lebih kurang 10 buah persatuan atau badan penulis berdaftar dan tahun ini saya harap ramailah.

Arifin memukul gong ketika gimik perasmian.
“Mudah-mudahan semua dapat, di Sandakan, di Tawau, di Kudat dan di Kota Kinabalu pun perlu ramai yang bergiat dan kita boleh bantu,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Literasi Kreatif dan Teknologi Sabah di Dewan Amil Jaya Kompleks Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, pada Khamis.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya Arifin menzahirkan harapan agar Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan rakan strategik dapat meneruskan program penggabungjalinan teknologi ke dalam bidang sastera dengan penglibatan lebih banyak pihak serta dalam skala lebih besar.
“Ketika kita masih mempertahankan pendekatan yang bersifat tradisional dalam melaksanakan sesuatu usaha, kita tidak dapat lari daripada pemodenan yang hadir bersama teknologi yang memudahkan sebahagian besar usaha kita.”Gerakan bahasa dan sastera kebangsaan di Sabah tidak terkecuali daripada kenyataan tersebut, ketika kita masih memerlukan buku fizikal, kita tetap sahaja mencari buku digital dan interaktif untuk dibaca dan ditatarkan serta dipasarkan kepada pelbagai lapisan masyarakat,” jelasnya.
Program sehari tersebut merupakan anjuran IPS, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dan Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK) serta disertai lebih 50 pelajar dari Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu, Politeknik Kota Kinabalu dan ILPKK.


































