MEXICO CITY: Mexico memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang segera terhadap Google sekiranya peta yang dipaparkan kepada pengguna di Amerika Syarikat (AS) terus menamakan Teluk Mexico sebagai ‘Teluk Amerika’ secara menyeluruh.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum pada Isnin menegaskan arahan Presiden AS, Donald Trump untuk menukar nama tersebut hanya terpakai ke atas bahagian pelantar benua yang berada di bawah kawalan AS.
Apa yang dilakukan oleh Google ini adalah mengubah nama pelantar benua Mexico dan Cuba, yang tidak ada kaitan dengan dekri Trump. Perintah itu hanya melibatkan pelantar benua AS,” katanya kepada wartawan.
Sheinbaum turut menyifatkan penukaran nama tersebut sebagai tidak tepat, sambil menegaskan perintah Trump hanya berkuat kuasa dalam kawasan pelantar benua AS sejauh 22 batu nautika dari pantai negara itu, bukan ke seluruh Teluk Mexico.
Tindakan Google minggu lalu yang menukar nama Teluk Mexico kepada ‘Teluk Amerika’ untuk pengguna di AS mencetuskan kontroversi di mana syarikat itu mempertahankan keputusan berkenaan dengan alasan ia mengikut amalan biasa yang mengemaskini nama berdasarkan sumber rasmi kerajaan.
Namun, pengguna di Mexico masih melihat nama asal, manakala pengguna di negara lain melihat kedua-dua nama tersebut.
Presiden Mexico sebelum ini sudah memberi amaran untuk mengambil tindakan undang-undang jika Google tidak memperbetulkan apa yang disifatkannya sebagai ‘penamaan yang tidak tepat’.
Dalam sidang media Isnin, Sheinbaum membaca surat balasan Google kepada kerajaan Mexico, yang mempertahankan keputusan mereka.
Namun, beliau tetap bertegas dengan pendiriannya dan telah menghantar surat baharu kepada Google, menuntut syarikat itu mengehadkan penggunaan nama ‘Teluk Amerika’ hanya kepada kawasan perairan di bawah bidang kuasa AS.
“Sebarang rujukan kepada inisiatif ‘Teluk Amerika’ di platform Google Maps mestilah terhad kepada kawasan laut di bawah bidang kuasa AS sahaja,” menurut surat tersebut.
Sheinbaum menegaskan Mexico akan menunggu maklum balas daripada Google berkaitan dengan isu tersebut sebelum mengambil langkah selanjutnya.


































