FUKUOKA: Pihak berkuasa menahan seorang wanita di Jepun kerana didakwa memicit seketul roti di kedai serbaneka dan meninggalkan premis tanpa membeli pek roti tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, pihak berkuasa di bandar Fukuoka, selatan Jepun mengesahkan wanita berusia 40 tahun itu ditahan pada Isnin atas kesalahan kerosakan jenayah.
Menurut polis, wanita terbabit, yang mengaku tidak bekerja, mendakwa hanya memeriksa kelembutan roti dengan menekan perlahan menggunakan tangan.
Wanita itu didakwa menyentuh sebungkus roti bijan hitam dan keju krim.
Walaupun bungkusan itu masih baik, polis berkata, satu daripada roti tersebut rosak selepas wanita terbabit menekannya dengan ibu jari kanan, dan pek tersebut tidak dapat dijual.
Polis berkata, pemilik kedai serbaneka mendakwa melihat wanita terbabit memicit bungkusan roti selama beberapa kali sebelum ini.
Ketika wanita itu hendak meninggalkan kedai, pemilik menyedari roti tersebut rosak dan memintanya membayar ganti rugi, kata polis.
Pek roti tersebut berharga sekitar 180 yen (RM5.20), namun wanita itu didakwa enggan membayarnya.
Setelah mengikut wanita itu sejauh satu kilometer, pengurus kedai itu menahannya sebelum polis dipanggil ke tempat kejadian dan menahannya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pihak polis semakin giat menangani kejadian prank ‘terrorism sushi’ di restoran sushi seperti menjilat botol kicap dan memicit sushi yang disediakan untuk pelanggan.
































