KUALA LUMPUR: Taktik licik sindiket penipuan pelaburan saham yang beroperasi dari tiga unit kondominium di Sri Petaling akhirnya terbongkar selepas serbuan dilakukan polis pada Selasa lalu.
Dalam operasi berkenaan, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berjaya menahan lapan individu terdiri daripada tujuh lelaki warga China dan seorang lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 37 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek dipercayai bertindak sebagai ejen mencari pelabur bagi sindiket terbabit.
“Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas 23 telefon bimbit, set komputer (tiga), monitor (satu), komputer riba (satu), router (satu) dan modem internet, cakera keras luaran (dua), tiga rangkai kunci bersama kad akses rumah serta wang tunai berjumlah RM3,453,” katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.
Menurut Ramli, siasatan awal mendapati sindiket tersebut menyasarkan mangsa dalam kalangan warga China dengan menawarkan serta memberi tunjuk ajar mengenai pelaburan menerusi pautan yang diberikan.
“Kesemua suspek kini direman selama lima hari sehingga Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ramli turut menegaskan keperluan mewujudkan kaedah lebih ketat bagi memastikan pemilik premis menjalankan proses Kenali Pelanggan Anda (KYC) sebelum menyewakan hartanah mereka.
“Dalam banyak operasi sebelum ini, kita mendapati premis kediaman sering digunakan sebagai pusat operasi bagi kegiatan jenayah penipuan.
“Oleh itu, alasan pemilik premis bahawa mereka tidak mengetahui aktiviti yang dijalankan di hartanah milik mereka tidak boleh lagi diterima,” katanya.
Tambah beliau, polis kini sedang merangka cadangan agar pemilik premis turut dipertanggungjawabkan dari sudut liabiliti jenayah jika gagal memantau atau melaporkan kegiatan jenayah yang berlaku di kediaman mereka.
“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka di bawah kesalahan pakat jahat jenayah atau bersubahat,” tegasnya.




























