PETALING JAYA: Seramai 435 orang rakyat Malaysia tersenarai antara 1.44 juta individu bukan warganegara Amerika Syarikat (AS) diberi arahan akhir pengusiran oleh Penguatkuasa Imigresen dan Kastam AS (ICE).
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan data Operasi Penguatkuasaan dan Pengusiran (ERO) ICE yang dikeluarkan pada November tahun lalu, kesemua 435 rakyat Malaysia itu berada dalam senarai bukan tahanan ICE.
Arahan pengusiran kepada kesemua rakyat Malaysia itu termasuk 1.44 juta warganegara asing lain adalah muktamad.
Penyenaraian itu meletakkan Malaysia dalam kategori pertengahan antara negara yang terjejas akibat pengusiran.
Selain Malaysia, negara Asia Tenggara lain turut tersenarai termasuk Indonesia membabitkan 4,276 individu; Vietnam (8,675); Laos (4,850); Thailand (619); Kemboja (1,747); Filipina (3,772); Singapura (111) dan Brunei (4).
Bagaimanapun, berdasarkan data dikeluarkan itu, ICE tidak menyediakan senarai secara spesifik kesalahan dilakukan sebagai alasan pengusiran.
Dokumen ICE menunjukkan bahawa walaupun mereka menerima arahan pengusiran akhir namun individu terlibat boleh mendapatkan perlindungan melalui suaka atau Konvensyen Menentang Penyeksaan.
Namun, kerajaan AS tetap mengharapkan negara asal menerima kepulangan rakyat mereka dan menyalahkan kerajaan asing melambatkan usaha pengusiran kerana kurang memberi kerjasama.
Agensi penguatkuasaan itu juga menggesa kerajaan asing mengesahkan kewarganegaraan individu-individu tersenarai, mengeluarkan dokumen perjalanan dan menerima penghantaran pulang rakyat masing-masing.
Sekiranya gagal mematuhi arahan itu, negara terbabit akan diklasifikasikan sebagai tidak bekerjasama atau berisiko tidak mematuhi arahan.
Pada masa ini, 15 negara diklasifikasikan sebagai tidak bekerjasama antaranya China, India dan Pakistan manakala 11 negara lain seperti Vietnam dan Iraq dikategorikan sebagai berisiko.
Sementara itu, Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan bahawa Kedutaan Malaysia di Washington, AS belum menerima sebagai notis rasmi dari pihak berkuasa AS berhubung isu tersebut.
Wisma Putra berkata, pihak kementerian sedar akan dakwaan laporan tersebut namun tidak menerima permohonan rasmi daripada mana-mana rakyat Malaysia yang menerima arahan akhir pengusiran untuk bantuan.
“Pihak kedutaan dan konsulat di AS kekal berhubung rapat dengan pihak berkuasa dan meneruskan usaha mendekati komuniti Malaysia bagi memastikan kesejahteraan dan kepatuhan mereka terhadap undang-undang imigresen.
“Wisma Putra akan mengeluarkan kenyataan lanjut jika menerima sebarang perkembangan baharu berhubung isu ini,” katanya.
































