Menteri Sains, Teknologi & Inovasi merangkap Exco Pendidikan & Exco Hal Ehwal Agama Negeri Sabah, Datuk Mohd.Arifin Mohd. Arif (empat dari kiri) mewakili Kerajaan Negeri Sabah sentiasa menyokong IPS dalam menyemarakkan aktiviti budaya dan kesusasteraan Sabah. Gambar IPS.
Membicarakan bidang kesusasteraan Sabah, kita tidak boleh lari daripada membincangkan Ikatan Penulis Sabah (IPS), sebuah organisasi yang aktif mengembangkan bidang penulisan dan melaksanakan kegiatan sastera di negeri berkenaaan.
Ini kerana IPS seolah-olah menjadi tonggak pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera Sabah di samping Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan sejarah, gerakan sastera bermula di Sabah sebaik sahaja Angkatan Gaya Baru (AGABA) ditubuhkan pada tahun 1957.
Kemudiannya, Angkatan Penulis Muda Sabah (APMS) pula muncul pada tahun 1960-an ekoran daripada kegagalan AGABA untuk menyerlah secara berkesan untuk menangani perkembangan sastera di negeri berkenaan.
Bagaimanapun, APMS juga terpaksa bersaing dengan Persatuan Penulis Sabah (PERPESA) sehingga memungkinkan pula lahir badan penulis yang lain hasil penggabungan APMS dan PERPESA, iaitu Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) yang ditubuhkan pada tahun 1970.
Menjelang tahun 1990-an, lahir pula beberapa persatuan penulis di Sabah, khususnya di Kota Kinabalu, yang menyumbang dan membantu dalam menyemarakkan lagi kegiatan bahasa dan sastera di negeri berkenaan.
Daripada sinilah muncul IPS. Idea penubuhan IPS timbul hasil daripada idea tiga orang penulis muda yang giat berbincang mengenai keperluan mewujudkan sebuah persatuan yang dapat membantu keterampilan penulis-penulis muda ketika itu. Ketiga-tiga penulis yang dimaksudkan ialah Aliudin Mohd. Salleh, Abd. Naddin Shaiddin dan Jasni Matlani (kini Datuk).
Hasil perbincangan yang berlangsung selama lebih kurang sebulan sejak Februari 1990, maka lahirlah IPS pada 24 Mac 1990. Mesyuarat agung penajanya diadakan di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah, Kota Kinabalu dengan kehadiran kira-kira 23 penggiat dan peminat sastera di bandar Kota Kinabalu dan sekitarnya.
Sejak penubuhannya sehingga kini, IPS telah dan masih menyumbang kepada gerakan bahasa, sastera dan budaya tempatan Sabah.
Sebagai sebuah persatuan penulis, IPS menggalakkan ahli-ahlinya menyumbang kepada penulisan sagerada berbentuk umum, kesusasteraan, kewartawanan mahu pun akademik.
Dalam hal ini, telah banyak karya sastera, sama ada puisi tradisional (seperti pantun dan syair), sajak, cerpen mahupun novel, diterbitkan oleh pemuka-pemuka dan ahli-ahli IPS dalam akhbar, majalah mahu pun buku. Sebilangan karya tersebut, malah, mendapat tempat di luar negara seperti Amerika Syarikat, Brunei, Filipina, Rusia, Indonesia, dan Thailand.
Semua itu membolehkan ahli-ahli IPS meraih pengiktirafan atas sumbangan mereka kepada sastera dan kualiti yang mereka tonjolkan dalam karya. Pengiktirafan ini telah dirasai ketika Jasni Matlani dan Hasyuda Abadi menjadi Ketua Satu IPS, masing-masing pada zaman 1990-1999 dan 1999-2019.
Kebanyakan pengiktirafan tersebut datang menerusi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Sabah yang dikelolakan oleh DBP. Malah, salah seorang pengasas IPS telah menerima pengiktirafan peringkat antarabangsa, iaitu Anugerah Penulisan Asia Tenggara.
IPS terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman. Walaupun Malaysia diuji dengan pandemik Covid-19, IPS terus bergerak bersesuaian dengan keadaan dan tujuan. Di sebalik identiti
IPS yang mengekalkan tradisi, IPS turut mengikuti peralihannya kepada bentuk digital. Peralihan tersebut berlaku ketika Abd. Naddin Shaiddin menjadi Ketua Satu IPS pada zaman 2019-2022.
Sejak 2021, lebih banyak kerjasama terjalin antara IPS dengan DBP serta badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan yang lain, terutamanya bagi memastikan sastera Sabah berterusan tanpa mengira zaman.
Hari ini, IPS merupakan gabungan daripada generasi pertama dan kedua. Walaupun Ketua Satu IPS ketika ini, Awang Abdul Muizz Awang Marusin, datang daripada generasi kedua, masih ramai daripada generasi pertama yang bergiat dalam semangat kekeluargaan untuk menjayakan sastera, bahasa dan budaya tempatan Sabah.

Memberitahu Mingguan Malaysia Awang Abdul Muizz, berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, IPS sudah merangka dan melaksanakan empat inisiatif.
Empat inisiatif tersebut adalah “Puisi Adalah…”, Sepanggar Membaca, Sepanggar Berpantun dan Melukis Senja.
Inisiatif “Puisi Adalah…” dimulakan pada 2017 dan diberhentikan selepas tahun 2018 sebelum disambung semula pada 2023, manakala tiga inisiatif yang lain dilaksanakan sejak tahun lalu.
Di bawah inisiatif “Puisi Adalah…”, IPS melaksanakan empat jenis kegiatan. “Yang pertama ialah apresiasi. Di bawah apresiasi, kita menganjurkan bengkel pembinaan penulis baharu melibatkan murid di beberapa buah sekolah rendah dan menengah di Sabah. Kita dorong murid-murid menulis puisi dan tambah baik puisi-puisi tersebut supaya dapat dinikmati oleh masyarakat.
“Kita juga melakukan apresiasi dalam bentuk penampilan dan penghayatan terhadap puisi karya penulis dalam dan luar Sabah sebagai bentuk penghargaan masyarakat terhadap puisi yang memberi kesan kepada kehidupan masyarakat di Sabah,” ujar Awang Abdul Muizz.
Selain apresiasi, inisiatif “Puisi Adalah” turut menganjurkan sayembara bagi menilai dan memberi penghargaan kepada puisi terbaik penulis dalam dan luar Sabah pada setiap bulan dan wacana memberi ruang membincangkan karya-karya puisi secara lebih mendalam, serta penerbitan antologi yang mengumpulkan semua puisi yang diiktiraf terbaik oleh IPS sepanjang sesuatu tahun.
Setakat ini, sebuah antologi puisi berjudul Di Gedung Suffah berjaya diterbitkan hasil karya 34 orang pengkarya seluruh negara.
Selain inisiatif “Puisi Adalah…”, IPS memanfaatkan inisiatif Melukis Senja dengan kerjasama Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu untuk memperbaiki kesihatan mental masyarakat melalui penulisan, lukisan dan muzik; Inisiaitf Sepanggar Berpantun pula dengan kerjasama Balai Pantun Singapura untuk menyemarakkan budaya pantun dalam kalangan masyarakat kawasan
Sepanggar; dan Sepanggar Membaca dianjurkan untuk menggalakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat di sekitar Sepanggar, terutamanya golongan muda.
Di samping membicarakan buku-buku umum dan sastera, inisiatif ini turut melibatkan pelaksanaan khidmat masyarakat berbentuk kelas mengaji al-Quran dengan kerjasama Pertubuhan Permuafakatan Baitul Muqaddam Sabah.
“Kita di IPS bersama-sama Baitul Muqaddam membuka kelas mengaji al-Quran di Dangau Sastera untuk dihadiri oleh golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa di sekitar kawasan Sepanggar,” ujar Awang Abdul Muizz.
IPS yang dianggotai 113 ahli turut mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Sabah dan kira-kira 40 organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, dalam dan luar negara.
Sokongan tersebut, menurut Awang Abdul Muizz, membolehkan IPS memperkenalkan dua inisiatif tambahan mulai tahun ini, iaitu inisiatif “Kembali ke Akar” yang berkonsepkan pemedulian terhadap penulis Sabah yang veteran dan memerlukan pembelaan, serta inisiatif “Kuseru Namamu” yang akan memanfaatkan anime sebagai daya penarik minat generasi Z dan Alpha terhadap sastera Sabah.


































