PETALING JAYA: Beberapa pegawai kastam dan pengarah syarikat kini berada dalam pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes penyeludupan dan pengelakan cukai rokok elektronik.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya setakat ini masih giat menjalankan siasatan dan penglibatan suspek-suspek lain yang sedang dikenal pasti.
“Kesemua pegawai kastam yang ditahan bermula dari gred WK19 sehingga WK22.
“Salah seorang daripada mereka berperanan sebagai ‘collector’ yang menerima rasuah sebanyak RM4,000 sehingga RM6,000 sehari sebelum rasuah itu diagih-agihkan antara pegawai kastam lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket apabila barang dibawa masuk ke Malaysia dengan cara pengikraran yang tidak betul.
Jelasnya, sindiket dipercayai mempunyai rangkaian antarabangsa untuk membuat ikrar yang tidak betul bagi mengelirukan pihak berkuasa di Malaysia.
“Pengikraran yang tidak betul menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk mengesan barangan itu dan bagi melepasi sekatan pemeriksaan di pintu keluar kastam, bayaran rasuah diberikan untuk membolehkan vape itu tidak diperiksa.
“Barang itu dinyatakan di dalam Airway Bill sebagai Lithium Ion Battery dan langsung tidak diikrarkan ke dalam sistem ePAM ataupun borang K1.
“SPRM sudah mengenal pasti penerbangan yang membawa vape itu datang dari Macau dan Hong Kong, namun usaha untuk memastikan barang seludup itu berasal dari negara mana masih giat dijalankan,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 12 akaun dan beberapa aset dibekukan SPRM susulan penahanan enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat terbabit.
“Beberapa dokumen berkaitan turut dirampas bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Antaranya Airway Bill, pesanan pembelian, baucar pembayaran, pesanan penghantaran, dokumen Electronic Pre-Alert Manifest (ePAM), dokumen K1, dan beberapa dokumen lain yang berkaitan kes,” katanya.
Akhbar ini kelmarin melaporkan siasatan awal SPRM mendapati nilai rasuah yang diberikan kepada pegawai penguat kuasa di pintu masuk Zon Perdagangan Bebas (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dipercayai mencecah RM6,000 sehari.
Azam dilapor berkata, nilai rasuah yang diberikan kepada pegawai penguat kuasa bergantung kepada jenis lori dilepaskan mengikut kategori dengan pecahan lori satu tan iaitu RM150, tiga tan (RM300), lima tan (RM500) dan atas lima tan (RM750).
Media kelmarin melaporkan SPRM menahan kira-kira 14 individu berusia 20 hingga 60-an melalui Op Airways di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya, hasil risikan selama tiga bulan.
Mereka yang ditahan terdiri daripada enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat selain turut merampas ratusan ribu vape yang melibatkan kehilangan hasil kutipan cukai kira-kira RM8 juta.


































