Tun Musa (empat dari kiri) dan Jeffrey (tiga dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu-tetamu jemputan.
KENINGAU: Daerah Keningau dijangka terus berkembang maju serta makmur seiring dengan matlamat Sabah Maju Jaya.
Pegawai Daerah Peter Jonu Moinjil berkata kemajuan yang sedang dikecapi hari ini merupakan berkat kerjasama yang erat di antara para pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan serta khidmat berkesan oleh pemimpin-pemimpin di Keningau.
“Keningau kini sedang rancak membangun. Kehidupan rakyat juga kian bertambah baik.
“Saya yakin, Keningau akan terus berkembang maju dan taraf sosioekonomi para penduduk akan dapat ditingkatkan,” ujarnya.
Keyakinan tersebut disuarakan beliau ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin dan Komuniti Daerah Pedalaman di Galeri Tuan Yang Terutama (TYT) Kampung Bandukan dekat sini, pada Jumaat.
Menurut Peter, warga Keningau amat berbangga menjadi daerah pertama menerima kunjungan rasmi Tun Musa sekali gus memberi motivasi positif khususnya golongan penjawat awam.
“Saya bersama warga Keningau berasa sangat bertuah kerana Keningau merupakan daerah pertama yang menerima kunjungan rasmi Tuan Yang Terutama Tun.
“Lawatan Tuan Yang Terutama Tun ke daerah ini sudah pasti akan menjadi kenangan manis dan penuh bermakna kepada kami khususnya penjawat awam di Keningau untuk bekerja dengan lebih gigih demi kemajuan daerah ini,” katanya.
Tambah beliau, kecemerlangan kepimpinan serta trek rekod Tun Musa semasa berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sabah selama 15 tahun merupakan sumbangan yang besar kepada rakyat serta negeri ini.
“Saya menaruh kepercayaan bahawa dengan pelantikan Tuan Yang Terutama Tun serta dibawah naungan Tuan Yang Terutama Tun, daerah Keningau ini akan bertambah majü dan makmur seiring dengan matlamat Sabah Majü Jaya.
“Kami semua yakin Sabah akan terus membangun dengan pesat dan rakyat akan menikmati limpahan kemajuan di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun seperti yang sedang dinikmati sekarang,” dedah beliau.
Antara yang hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan; Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Elron Alfred Angin; Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Robert Tawik, Pengerusi Sabah Energy dan Datuk Anwar Ayub.
Hadir sama, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, ketua-ketua daerah, ketua kampung, kapitan Cina, ketua-ketua adat dan Persatuan Suku Kaum Daerah Pedalaman
.
































