Golongan wanita menyumbang lebih 13 peratus daripada jumlah jutawan dunia pada tahun 2024.
Menurut Utusan Malaysia, meskipun ia hanya sebahagian kecil, sumbangan golongan wanita sebenarnya semakin meningkat dalam senarai Jutawan Dunia Forbes.
Bagi tahun lepas, 369 daripada 2,781 jutawan atau 13.3 peratus adalah wanita, meningkat daripada 337 pada 2023, apabila golongan itu merangkumi hanya 12.8 peratus daripada senarai tersebut.
Secara keseluruhan, mereka memiliki kekayaan hampir AS$1.8 trilion (RM8.1 trilion), sekitar AS$240 bilion (RM1.08 trilion) lebih tinggi daripada tahun 2023.
Berikut merupakan 10 wanita terkaya di dunia dalam senarai Forbes pada tahun lalu:
1. FRANCOISE BETTENCOURT MEYERS

Cucu kepada pengasas L’Oreal dan pewaris keluarga ini adalah wanita terkaya di dunia untuk tahun keempat berturut-turut.
Sebahagian besar kekayaannya terikat dengan hampir 35 peratus pegangan dalam gergasi kosmetik, L’Oreal Group, yang mempunyai pendapatan AS$45 bilion (RM202.6 bilion) dan jenama
terkenal seperti Maybelline, Kiehl’s serta Lancome.
Francoise, 71, pertama kali muncul dalam senarai jutawan Forbes pada 2018 dengan kekayaan sebanyak AS$42.2 bilion (RM189 bilion).
2. ALICE WALTON

Wanita terkaya di Amerika Syarikat (AS) ini memiliki kekayaan AS$15.6 bilion (RM70.2 bilion) lebih banyak pada 2024, berikutan lonjakan harga saham Walmart sebanyak 34 peratus dalam tempoh 12 bulan.
Beliau merupakan satu-satunya anak perempuan kepada pengasas Walmart, Sam Walton.
Alice tidak pernah duduk di lembaga pengarah peruncit itu, sebaliknya beliau memberi tumpuan kepada seni.
Beliau terkenal kerana membuka Muzium Seni Amerika Crystal Bridges di Bentonville, Arkansas, yang menampilkan karya daripada Andy Warhol, Norman Rockwell dan Mark Rothko.
3. JULIA KOCH DAN KELUARGA

Balu kepada David Koch, turun dari kedudukan kedua ke tangga ketiga sebagai wanita terkaya dunia tahun lepas.
Beliau dan tiga anaknya mewarisi 42 peratus pegangan Koch Industries, yang mempunyai perniagaan daripada penapisan minyak dan teknologi perubatan kepada tuala kertas.
Julia, 62, juga merupakan pemegang amanah di Muzium Seni Metropolitan.
4. JACQUELINA MARS

Pewaris Mars Inc., memiliki gergasi gula-gula dan makanan haiwan peliharaan bersama abangnya, John Mars dan empat anak perempuan mendiang abangnya Forrest Jr.
Syarikat itu memiliki jenama ikonik, termasuk M&Ms, Snickers, Ben’s Original dan makanan anjing Pedigree.
Ia diasaskan oleh datuknya, Frank C. Mars, yang mula menjual gula-gula krim mentega dari dapur pada 1911.
5. MACKENZIE SCOTT
Dermawan jutawan ini memperoleh empat peratus saham Amazon selepas perceraian dengan usahawan, Jeff Bezos pada 2019.
Pada Mac tahun lalu, Mackenzie memberikan AS$640 juta (RM2.8 bilion) kepada 361 organisasi yang memohon dalam pertandingan untuk pembiayaan.
Sumbangan sepanjang hayatnya kini mencecah AS$17.3 bilion (RM77.8 bilion), terdiri daripada sumbangan kecil tanpa syarat yang sering mengejutkan penerima.
6. SAVITRI JINDAL DAN KELUARGA

Pengerusi Jindal Group dan balu pengasasnya, Om Prakash Jindal, adalah wanita terkaya di India.
Jindal Group terlibat dalam sektor keluli, tenaga, simen dan infrastruktur.
Savitri berada di tempat ke-12 sebagai wanita terkaya pada 2023, namun kenaikan harga saham melonjakkan kekayaannya.
7. RAFAELA APONTE-DIAMANT
Rafaela, 80, dan suami, Gianluigi Aponte adalah pengasas bersama syarikat pengangkutan kapal terbesar di dunia, MSC.
Masing-masing memiliki 50 peratus saham dalam syarikat yang mereka mulakan pada tahun 1970, menggunakan pinjaman AS$200,000 (RM900,403) untuk membeli sebuah kapal.
8. MIRIAM ADELSON DAN KELUARGA
Adelson dan keluarga memiliki lebih daripada separuh saham dalam Las Vegas Sands, salah satu pengendali kasino terbesar di dunia.
Mewarisi saham tersebut selepas kematian suami, Sheldon Adelson, seorang tokoh utama Parti Republikan pada 2021.
Adelson menyumbangkan lebih AS$1 bilion (RM4.5 bilion) sepanjang hayatnya untuk membiayai penyelidikan perubatan dan penemuan ubat.
9. GINA RINEHART
Taikun Australia ini mengetuai syarikat perlombongan dan pertanian Hancock Prospecting Group.
Rinehart, 71, mewarisi perniagaan itu daripada bapanya, Lang Hancock.
Kekayaannya meningkat sebanyak 14 peratus sejak Mac 2023 dan kekal sebagai individu terkaya di Australia.
10. ABIGAIL JOHNSON
Ketua gergasi dana bersama Fidelity kembali ke kedudukan 10 wanita terkaya dunia pada 2024
Figura 63 tahun ini menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fidelity Investments sejak 2014, menggantikan bapanya, Edward ‘Ned’ Johnson III.
Beliau memiliki kira-kira 28.5 peratus pegangan dalam syarikat tersebut, dengan aset terurus AS$4.9 trilion (RM22.06 trilion).


































