KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berjaya melaksanakan 204 program dan menyalurkan pembiayaan sebanyak RM9.58 bilion sepanjang tahun 2024.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kesemua program yang dilaksanakan itu memberi manfaat hampir 800,000 usahawan, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), koperasi, perusahaan sosial, penjaja dan peniaga kecil serta usahawan informal.
Katanya, dari segi pembiayaan pula, seramai 333,653 usahawan dan koperasi mendapat bantuan pembiayaan termasuk pembiayaan mikro-kredit dan geran keusahawanan serta pinjaman mudah melibatkan pembiayaan berjumlah RM9.58 bilion.
“Dalam aspek pembangunan kapasiti dan keupayaan, seramai 132,453 usahawan dan koperasi telah menjalani program pemantapan kapasiti serta mendapat fasilitasi dan sokongan keusahawanan yang diperlukan.
“Selain itu, 314,342 individu telah mendapat pendedahan dan pembudayaan keusahawanan, di mana 51,221 daripadanya berjaya bergelar usahawan baharu.
“Daripada aspek perluasan akses pasaran, seramai 4,992 usahawan dan koperasi mendapat akses pasaran merangkumi premis dan ruang perniagaan serta peluang menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.
“Manakala 3,562 usahawan dan koperasi telah memperkukuh perniagaan melalui adaptasi teknologi dan penggunaan platform e-dagang,” katanya ketika berucap menyampaikan Amanat Kepada Warga KUSKOP tahun 2025, di Dewan Menara Bank Rakyat, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak, ketua-ketua agensi dan warga kementerian.
Ewon berkata, sepanjang tahun lalu, KUSKOP juga telah melancarkan satu dasar dan dua garis panduan keusahawanan iaitu Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara (D3PKN) 2030, Garis Panduan Pelaksanaan Program SDSI Versi 2.0 dan Garis Panduan Aspek Kawal Selia Perniagaan Dari Rumah (Home-Based Business).
Selain itu katanya, Jemaah Menteri pada Disember 2024 telah bersetuju dengan pembangunan Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) oleh KUSKOP dan dijangka dilancarkan pada Februari 2025.
“Semua ini hasil sokongan seluruh warga KUSKOP serta 10 Agensi. Saya berbangga kerana aspirasi dan prinsip tata kelola yang baik terus menjadi pegangan dan amalan kita semua.
“Ini dapat diterjemahkan berdasarkan pencapaian program-program yang dilaksanakan sepanjang 2024, serta penambahbaikan yang akan dilaksanakan di bawah perancangan tahun 2025.
“Saya percaya Team KUSKOP is a team that always make it happen,” katanya.
Sementara itu, Ewon turut melancarkan dokumen Perancangan Strategik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Tahun 2025 dengan tema “Transformasi Melonjak Prestasi”.
Beliau berkata, dokumen itu menggariskan 21 strategi, 5 pemboleh daya dan 196 program atau aktiviti termasuk 20 program perdana serta 6 KPI untuk tahun 2025.
“Ia merangkumi aspek penggubalan dasar, tadbir urus dan kawal selia, pembangunan kapasiti, akses pembiayaan, akses pasaran, adaptasi teknologi dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan.
“Pelaksanaan kesemua program dan projek yang dirancang akan memanfaatkan 508,498 usahawan dan bakal usahawan serta koperasi,” katanya.
Sehubungan itu, Ewon berharap komitmen semua warga Kementerian dan Agensi terus diperkasakan untuk membantu usahawan menggiatkan lagi aktiviti perniagaan mereka.
Beliau yakin, pendekatan yang dirangka di bawah perancangan strategik ini akan menghasilkan usahawan yang lebih cekal, berdaya maju dan inovatif serta berupaya menampan situasi di luar jangkaan pada masa hadapan.
“Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab memacu agenda pembangunan usahawan dan koperasi, saya pasti kita semua berada dalam kedudukan terbaik untuk melaksanakan segala inisiatif yang digariskan di bawah Perancangan Strategik KUSKOP 2025 yang menjurus ke arah penskalaan dan pengantarabangsaan usahawan serta pemerkasaan koperasi, sebagai persediaan untuk RMKe-13.
“Saya berharap program tahun 2025 dilaksanakan secara objektif, berstruktur, strategik dan efektif agar bantuan dan kemudahan yang diberikan kepada usahawan dan koperasi sampai tepat pada masa dan memberi impak yang besar terhadap prestasi perniagaan mereka,” katanya.
Ewon berkata, fokus juga perlu diberikan kepada pencapaian outcome pelaksanaan program dan tidak hanya kepada output sahaja.
“Ini kerana kejayaan sebenar program seharusnya dilihat dari sudut outcome. Ini kerana ia mencerminkan sejauh mana sesuatu program keusahawanan atau skim pembiayaan itu dapat memberi impak positif kepada usahawan PMKS dan juga koperasi,” katanya.
Berdasarkan perkembangan semasa pembangunan keusahawanan, Ewon yakin tahun 2025 akan memberi kejayaan yang lebih cemerlang.
“Kita akan terus membina satu pasukan KUSKOP yang komited untuk membuat yang terbaik supaya rakyat merasai hasil perkhidmatan kita sepanjang berada di Kementerian ini.
“Saya akan terus mengamalkan dasar pintu terbuka kepada persatuan-persatuan usahawan, koperasi-koperasi dan pemain-pemain sektor PMKS untuk mendapatkan input dan pandangan berkenaan isu semasa di peringkat operasi dan pelaksanaan dalam menyantuni mereka sebagai pelanggan Kementerian ini,” katanya.
Selain itu katanya, kolaborasi dalam perkongsian sumber dan kepakaran dengan Kementerian dan Agensi juga akan diperkasakan.
“Begitu juga kerjasama dengan organisasi korporat dan swasta agar inisiatif yang dilaksanakan lebih strategik dan bersasar untuk memenuhi keperluan semasa usahawan, PMKS dan Koperasi.
Ewon berkata, tahun 2025 merupakan tahun yang amat penting bagi Malaysia, kerana, ia merupakan tahun terakhir bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan keduanya, kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
“KUSKOP mempunyai sasaran-sasaran penting yang perlu dicapai pada penghujung RMKe-12, baik daripadah aspek sasaran peningkatan pertumbuhan KDNK, eksport dan produktiviti PMKS, juga daripada aspek jumlah perolehan koperasi.
“KUSKOP juga akan menjadi tuan rumah kepada penganjuran mesyuarat dan beberapa program utama sempena kepengerusian ASEAN.
“Antaranya ialah 19th ASEAN Coordinating Committee on Micro, Small and Medium Enterprises (ACCMSME), 8th ASEAN Inclusive Business (IB) Forum dan pelancaran ASEAN Centre of Excellence on Green Transition di CEDAR SME Bank,” katanya.
Katanya, acara-acara itu penting bagi KUSKOP kerana ia boleh menjadi batu loncatan untuk meletakkan Malaysia dalam kedudukan terbaik pembangunan keusahawanan di peringkat serantau (ASEAN) selari dengan matlamat Ekonomi MADANI.


































