Dr. Dzulkefly Ahmad
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan tidak akan melaksanakan sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB) melibatkan petugas kesihatan pada 1 Februari ini seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menjelaskan, dakwaan kononnya sistem baharu itu bakal diteruskan juga pada 1 Februari depan sebagai percubaan fasa awal adalah tidak benar.
“Sekali lagi dijelaskan, meskipun cuma perintis ia hanya boleh mula jika diluluskan oleh menterinya dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Terdahulu, tular surat edaran garis panduan bertarikh 10 Januari lalu dibocorkan individu tertentu kononnya Kementerian Kesihatan bakal melaksanakan WBB.
Rentetan itu, Dzulkefly pada 16 Januari lalu menjelaskan bahawa projek itu baru sahaja di peringkat cadangan dan tidak melibatkan kesemua hospital awam di seluruh negara.
Mengulas lanjut, beliau menerangkan yang idea WBB itu sendiri dibina oleh sekumpulan 10 doktor pakar bagi memenuhi keperluan tuntutan kerja pegawai perubatan di lapangan.
“Malah Jawatankuasa Penasihat dan Tindakan Perubatan (MAAC) sekitar Januari 2024 ditubuhkan dengan dianggotai pakar klinikal hospital KKM dari pelbagai bidang,” katanya.
Ujar Dzulkefly, surat itu juga bukannya pekeliling rasmi untuk semua fasiliti awam kerana hanya Ketua Pengarah dan Ketua Setiausaha Kementerian yang boleh menandatanganinya.
“Secara am, projek rintis ini beri ruang penambahbaikan dengan sesi libat urus bersama masih diteruskan sebelum dapatan diberi kepada saya untuk pertimbangan,” katanya.
Bahkan tegas beliau, sekiranya dilakukan secara percubaan, WBB peringkat awal cuma membabitkan unit-unit tertentu dalam jabatan-jabatan tertentu di hospital tertentu sahaja.
WBB terang Dzulkefly, hanya sebagai tambahan pilihan kepada dua lagi sistem sedia ada dilaksanakan dan bukannya direka untuk menggantikan langsung sistem sebelum ini.
Pemilihan apa-apa aturan jadual kerja juga kata beliau, tertakluk kepada kemampuan sumber manusia dan tahap ketersediaan jabatan serta pihak pentadbiran hospital terbabit.
Petugas kesihatan di fasiliti awam ujarnya, berdepan dengan bebanan kerja dan cabaran tugasan amat tinggi dengan waktu kerja yang panjang iaitu selama 33 jam tanpa henti.
Bagi tugasan atas panggilan pula katanya, jumlah masa itu boleh mencecah 99 jam seminggu dan ia tidak sepatutnya menjadi norma dalam kerjaya pegawai perubatan.


































