PETALING JAYA: Sebanyak 657,900 daripada 14.9 juta pekerja swasta bakal menikmati kenaikan gaji berikutan pelaksanaan gaji minimum baharu iaitu RM1,700 bermula 1 Februari ini.
Jumlah itu membabitkan kalangan pekerja yang masih menerima gaji minimum RM1,500 sejak dasar ini mula dikuatkuasakan sejak dua tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, kenaikan gaji sebanyak 20 peratus itu memberikan purata tambahan pendapatan sekitar RM200 sebulan daripada gaji asal pekerja.
“Langkah ini bukan sahaja membantu pekerja menangani kos sara hidup yang kian meningkat tetapi juga memberi impak positif kepada ekonomi dengan meningkatkan kuasa beli golongan berpendapatan rendah.
“Selain itu, peningkatan ini mampu merangsang permintaan domestik, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025, mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum baharu itu bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja selama enam bulan bermula 1 Ogos nanti.
Mengulas lanjut, Mohd. Effendy berkata, pelaksanaan gaji minimum baharu perlu disertai dengan langkah sokongan yang efektif bagi memastikan kesejahteraan pekerja terjamin serta memberi impak positif kepada ekonomi negara.
Jelasnya, langkah sokongan itu penting untuk meringankan beban majikan sambil memastikan kenaikan gaji tidak menjadi halangan kepada perkembangan perniagaan khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Antara cadangan yang boleh diperkenalkan adalah rebat cukai atau insentif kewangan kepada majikan. Insentif ini dapat membantu majikan menyesuaikan diri dengan kenaikan kos akibat pelaksanaan gaji minimum tanpa mengorbankan daya saing atau mengurangkan tenaga kerja.
“Selain itu, rebat cukai ini juga boleh menjadi galakan kepada majikan untuk melabur dalam teknologi dan latihan pekerja, sekaligus meningkatkan produktiviti syarikat.
“Pada masa sama, pendekatan ini bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum tidak hanya bermanfaat kepada pekerja tetapi juga memberi ruang kepada majikan untuk menyesuaikan operasi mereka tanpa menjejaskan daya saing perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Effendy turut mencadangkan agar pemberian subsidi khas diberikan kepada pekerja swasta untuk barangan keperluan asas seperti makanan, bahan bakar, dan utiliti bagi mengimbanginya dengan lonjakan kos sara hidup.
“Selain itu, MTUC juga mendesak pemantauan ketat pematuhan majikan terhadap gaji minimum selain mengenakan hukuman tegas bagi ketidakpatuhan dasar terutama sektor yang sering melanggar peraturan.
“Kerajaan turut disarankan untuk memberikan insentif tambahan kepada sektor yang terjejas seperti sektor perladangan dan perkhidmatan kecil bagi membantu tempoh penyesuaian mereka.
“Begitu juga dengan pemantauan kawalan harga barangan dan perkhidmatan penting amat diperlukan untuk mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan dengan menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya.




























