Ruben Amorim mendesak Manchester United agar segera membeli pemain Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres dari Sweden sebagai usaha mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan kelab berkenaan
LONDON: Ruben Amorim mendesak pengurusan tertinggi Manchester United agar segera membeli penyerang Sweden, Viktor Gyokeres untuk menguatkan jentera serangan The Red Devils.
Menurut Utusan Malaysia, penyerang Sporting Lisbon itu sebelum ini bertindak cemerlang menjaringkan banyak gol di bawah kendalian Amorim dan dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford susulan kemerosotan teruk kelab itu.
United boleh menyaksikan Marcus Rashford dan Joshua Zirkzee meninggalkan kelab itu ketika jendela perpindahan bulan ini, dengan Rashford berminat untuk berdepan cabaran baharu.
Selepas kekalahan 2-0 di tangan Newcastle, Isnin lalu, Amorim membayangkan beliau tidak mampu meningkatkan skuadnya pada musim ini apabila kemerosotan prestasi amat ketara.
Bagaimanapun menurut Daily Star, pengendali dari Portugal itu kini memberitahu bos kelab usaha untuk membawa masuk Gyokeres bulan ini adalah satu keperluan mendesak.
Pemain berusia 26 tahun itu meninggalkan kelab Liga Kejuaraan, Coventry tahun lalu dalam perjanjian bernilai 20 juta euro (RM112 juta) susulan kekalahan kelab itu pada final play-off divisyen dua di tangan Luton.
Namun, perpindahan ke Old Trafford memaksa kelab itu berbelanja kira-kira 80 juta euro (RM448 juta) untuk memenuhi klausa dalam kontraknya.
Laporan akhir-akhir ini mendakwa United perlu menjual beberapa pemain sebelum mereka boleh membawa masuk bakat baharu.
Bulan lalu Gyokeres mencetus spekulasi mahu berpindah ke Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila dia meluahkan keinginannya untuk beraksi di liga utama Inggeris.
United berdepan pendahulu Liverpool, Ahad ini sebelum pertembungan pusingan ketiga Piala FA menentang Arsenal di Emirates.


































