PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memburu setiap individu yang memiliki bahan pornografi terutama membabitkan kanak-kanak.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesan mereka yang merakam, menyimpan dan memuat turun bahan tersebut.
Pada masa sama katanya, polis juga sedang mengenal pasti kemungkinan individu yang ditahan dakan Op Pedo pada Isnin lalu terlibat dengan sindiket.
“Selain mereka yang ditahan pada 23 Disember lalu, PDRM dengan kerjasama MCMC sedang memburu individu yang memiliki gambar dan pornografi kanak-kanak dan dewasa.
“Kita sedang memburu individu dan siasatan juga tertumpu kepada individu yang cuba terlibat dengan pengantunan kanak-kanak secara dalam talian untuk tujuan seksual.
“Namun kerjasama orang ramai diperlukan agar dapat membendung gejala ini daripada berleluasa terutamanya ibu bapa, masyarakat dan penyedia platform tentang tanggungiawab melindungi dan menjaga keselamatan kanak-kanak.
“PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang melakukan dan melibatkan diri dalam aktiviti jenayah,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Tambah Razarudin, siasatan polis mendapati ada gambar dan video lucah yang ditemukan dimuat turun daripada laman sesawang gelap bagi simpanan peribadi.
Katanya, ada suspek yang ditahan mendakwa menyimpan gambar dan video lucah terbabit untuk ‘keseronokan’ selain berkongsi dengan orang terdekat dan pihaknya masih meneruskan oeprasi menjajdi individu memiliki gambar dan video lucah terbabit.
Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis menjalankan siasatan kemungkinan 40,000 video dan gambar pornografi kanak-kanak serta dewasa yang ditemukan pada komputer milik 13 suspek yang direman untuk dijual di media sosial atau sesawang gelap.
Razarudin dilapor berkata, dalam operasi bersepadu PDRM dan MCMC itu, seramai 13 individu berusia 20 hingga 74 tahun ditahan menerusi serbuan berasingan terhadap 18 premis di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu, kelmarin.
Kata beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada pengurus akaun, jurukimpal, jurujual, pekebun, pengurus akaun, jurugambar bebas, pereka grafik dan penganggur.


































