PETALING JAYA: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 akan diperluaskan kepada pelajar tingkatan enam bermula sesi persekolahan 2025/2026.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perluasan pemberian BAP itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar tingkatan enam dengan implikasi kewangan kira-kira RM15 juta.
“Kadar bantuan adalah sebanyak RM150 bagi setiap pelajar. Agihan BAP kepada pelajar tingkatan enam sedia ada akan dilaksanakan pada Februari 2025.
“Manakala, pelajar Tingkatan Enam baharu pula akan menerima BAP pada Julai 2025,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 18 Oktober lalu, mengumumkan BAP akan diteruskan dengan peruntukan hampir RM800 juta untuk 5.2 juta murid tahun satu hingga tingkatan lima tanpa mengira pendapatan ibu bapa.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga dilapor berkata, BAP akan disalurkan kepada sekolah bermula Januari 2024 kepada setiap murid secara tunai atau kredit ke akaun masing-masing.
Kerajaan menyediakan insentif BPA RM150 kepada setiap murid bagi membantu mengurangkan beban ditanggung ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan.
Mengikut maklumat KPM, BAP mula diperkenalkan pada 2012 bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak ditanggung ibu bapa atau penjaga terutamanya pada awal tahun.
Bantuan ini diberikan kepada murid tahun satu hingga tingkatan lima atau setaraf dengannya daripada kalangan keluarga berpendapatan isi rumah kasar RM3,000 dan ke bawah.
Bagaimanapun, kini bantuan awal persekolahan diberikan kepada semua murid tanpa mengambil kira pendapatan keluarga.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, perluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam yang dilaksanakan pertama kali itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Madani untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak.
“Inisiatif ini juga membuktikan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkasakan pendidikan tingkatan enam sebagai satu pilihan pendidikan yang berkualiti tinggi.
“Ia adalah satu langkah ke hadapan untuk menggalakkan pelajar memilih pendidikan tingkatan enam pada masa akan datang,” katanya.
Tambah beliau, KPM sentiasa komited untuk meningkatkan akses pendidikan di setiap peringkat di bawah kelolaan kementerian termasuk memperluaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta memperkukuh pendidikan tingkatan enam.

































