Masiung menyerahkan bantuan kepada Labis Tubuh (kanan), wakil 13 komuniti gereja Zon Entilibon.
TONGOD: Sebanyak 74 komuniti gereja di daerah Tongod menerima sumbangan berjumlah RM50,000 daripada ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah sempena sambutan Krismas tahun ini.
Sumbangan sentuhan kasih tersebut bertujuan membantu jemaah gereja melaksanakan aktiviti keagamaan sempena Krismas yang akan disambut pada 25 dan 26 Disember ini.
Majlis penyampaian sumbangan itu diadakan semalam di Dewan Entilibon.
Masiung berkata, setiap gereja menerima sumbangan antara RM500 hingga RM2,000, bergantung kepada saiz komuniti. Bantuan ini merupakan program tahunan yang diagihkan menjelang Krismas.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus melibatkan diri dalam pembangunan keagamaan di daerah tersebut.
Beliau turut menggesa para pemimpin komuniti gereja di kawasan Kuamut supaya memperindah kawasan gereja melalui projek gotong-royong dalam kalangan jemaah.
































