WASHINGTON: Pihak berkuasa penerbangan Amerika Syarikat (AS) melarang penggunaan dron di 22 tapak infrastruktur di New Jersey dan 29 lagi di New York selama 30 hari, selepas peningkatan penampakan dron di timur negara.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu membenarkan pihak berkuasa untuk menggunakan ‘kuasa maut’ terhadap pesawat tanpa pemandu itu, sekiranya ia menimbulkan ancaman keselamatan.
Juruterbang yang beroperasi di zon larangan berisiko dipintas dan ditahan oleh penguatkuasa undang-undang, kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam satu kenyataan.
Tindakan itu dilakukan selepas beberapa minggu penampakan dron misteri di seluruh New Jersey dan negeri lain, yang mencetuskan kebimbangan penduduk dan mendorong pelbagai teori konspirasi dalam talian mengenai penglibatan asing.
Pihak berkuasa tidak memberikan jawapan pasti, tetapi Presiden Joe Biden mendakwa penampakan dron itu bukan sesuatu yang membimbangkan.
Perintah tersebut, yang asalnya meliputi tapak di New Jersey, melarang pesawat tanpa pemandu beroperasi di bawah 121 meter, ketinggian maksimum untuk operasi dron rekreasi mengikut peraturan FAA.
Larangan di New Jersey akan tamat pada 17 Januari, tetapi padang gplf Donald Trump di Bedminster akan dilanjutkan sehingga 31 Januari, selepas pelantikannya sebagai Presiden.
Selama berminggu-minggu, rakyat Amerika melaporkan penampakan dron misteri berlegar berhampiran pangkalan tentera, berdekatan pantai serta infrastruktur AS.
Penampakan dron-dron misteri itu berlaku di beberapa negeri lain termasuk Pennsylvania, Connecticut, Ohio dan lain-lain dengan kebanyakkannya dikesan pada waktu malam.
































