Pencemaran udara meningkat di kawasan jalan raya yang penuh sesak di wilayah Amritsar di India.
NEW DELHI: India mengetatkan sekatan dalam usaha membantu orang awam menghadapi pencemaran sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam di New Delhi dan kawasan sekitar susulan kemerosotan kualiti udara.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu dikeluarkan lewat Isnin selepas indeks kualiti udara (AQI) mencatat bacaan melebihi 400 pada skala 0 hingga 500, menjadikannya tahap teruk.
Situasi itu mendorong mesyuarat tergempar badan kerajaan yang ditugas untuk menguruskan pencemaran.
Semalam, saranan untuk kelas hibrid – dalam talian dan bersemuka – dihadkan kepada kelas sehingga gred 5 sahaja, sebelum diperluaskan kepada semua kelas kecuali gred 10 dan 12.
Arahan awal untuk pejabat kerajaan menyelaras waktu kerja secara berperingkat turut diperluaskan kepada permintaan agar semua pejabat membenarkan 50 peratus pekerja bekerja dari rumah.
Pagi ini, bacaan AQI di New Delhi mencatatkan 424, dengan suhu turut menurun kepada 5.9 darjah Celsius, menyebabkan bandar itu diselubungi jerebu toksik.
Suruhanjaya Pengurusan Kualiti Udara mengaitkan peningkatan mendadak pencemaran itu dengan keadaan meteorologi yang sangat tidak baik.
Ia turut mengarahkan larangan terhadap kebanyakan aktiviti pembinaan.
Kerajaan menyarankan kanak-kanak, warga emas dan individu mempunyai penyakit pernafasan atau kronik untuk mengelakkan aktiviti luar dan kekal berada di dalam rumah.
Utara India mengalami pencemaran teruk setiap musim sejuk apabila suhu menurun dan udara sejuk memerangkap pelepasan, debu pembinaan serta asap pembakaran ladang di negeri pertanian Punjab, Haryana dan Uttar Pradesh.
Delhi mencatatkan tahap pencemaran tertinggi untuk musim ini pada November apabila bacaan AQI mencecah 494.


































