WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM22.3 juta) kepada mana-mana pihak yang memberikan maklumat berhubung skim penipuan melibatkan pekerja teknologi Korea Utara.
Menurut Utusan Malaysia, skim itu dilaporkan menyusup masuk ke syarikat-syarikat AS, mencuri rahsia dagangan dan menuntut wang tebusan.
Menurut Jabatan Negara, sebanyak 130 pekerja Korea Utara berjaya memperoleh pekerjaan dalam sektor teknologi maklumat di syarikat dan organisasi bukan berasaskan keuntungan di AS dari 2017 hingga 2023.
Aktiviti tersebut menghasilkan pendapatan sekurang-kurangnya AS$88 juta (RM391 juta), yang sebahagian besarnya disalurkan kepada program senjata pemusnah besar-besaran Pyongyang.
“Sebahagian pendapatan itu diperoleh daripada gaji pekerja yang akhirnya diserahkan kepada kerajaan Korea Utara,” kata kenyataan itu.
Jabatan Negara turut mencari maklumat mengenai dua syarikat Korea Utara yang disenarai hitamkan iaitu Yanbian Silverstar Network Technology berpangkalan di China dan Volasys Silverstar di Russia yang dikatakan bertanggungjawab menguruskan pekerja terbabit.
Menurutnya, pekerja yang beroperasi dari dua negara itu mencuri maklumat sensitif syarikat, termasuk kod sumber perisian yang menjadi hak milik dan mengugut untuk membocorkannya jika majikan tidak membuat pembayaran wang tebusan.
AS telah mengumumkan pendakwaan terhadap 14 individu warga Korea Utara atas tuduhan terlibat dalam skim tersebut atas pelbagai kesalahan termasuk penipuan, pengubahan wang haram dan pencurian identiti.
“Tindakan ini dilakukan untuk menyokong rejim zalim Korea Utara yang mengarahkan rakyat mereka mendapatkan pekerjaan melalui penipuan, mencuri maklumat sensitif syarikat AS dan menyedut wang kembali ke Pyongyang,” kata Timbalan Peguam Negara AS, Lisa Monaco, dalam satu kenyataan.
Kerajaan AS turut mendedahkan pekerja terbabit menggunakan identiti ratusan rakyat AS untuk mendapatkan pekerjaan secara haram.


































