John Alfred Tinniswood
LONDON: Lelaki tertua di dunia, John Alfred Tinniswood meninggal dunia pada usia 112 tahun di London.
Menurut Utusan Malaysia, keluarganya mengesahkan, Tinniswood menghembus nafas terakhir pada Isnin di rumah penjagaan di Southport, tempat beliau menetap sejak beberapa tahun lalu.
Beliau diiktiraf sebagai lelaki tertua di dunia pada April lalu selepas Juan Vicente Pérez Mora dari Venezuela meninggal dunia pada usia 114 tahun.
Dilahirkan pada 26 Ogos 1912, tahun sama kapal Titanic tenggelam, Tinniswood menjadi lelaki tertua di United Kingdom pada 2020, sebelum diiktiraf di peringkat dunia oleh Guinness Book of Records.
Keluarga Tinniswood menyifatkan beliau seorang yang berbakat dalam matematik, berani, tenang dalam menghadapi krisis dan bijak berbicara.
Beliau bertemu isterinya, Blodwen, di sebuah majlis tari-menari di Liverpool dan berkahwin pada 1942 serta menikmati kehidupan berumahtangga selama 44 tahun sehingga isterinya meninggal dunia pada 1986.
Selepas perang, Tinniswood bekerja untuk Royal Mail sebelum menjadi akauntan bagi syarikat minyak Shell dan BP, sehingga bersara pada 1972.
Dalam wawancara bersama BBC sebelum ini, Tinniswood berkata, beliau menjalani kehidupan yang aktif pada zaman mudanya dengan banyak berjalan kaki.
Namun, beliau tidak mengetahui rahsia umur panjang dan menyifatkan dirinya sebagai orang biasa.
Beliau berpindah ke rumah penjagaan Hollies Rest di Southport sebelum ulang tahunnya yang ke-100 dan dikenang sebagai individu yang penuh kebaikan serta menjadi inspirasi kepada kakitangan rumah penjagaan dan rakan-rakan penghuni lain.
Sejak usianya mencecah 100 tahun pada 2012, beliau menerima kad ucapan tahunan daripada raja Inggeris, bermula daripada mendiang Ratu Elizabeth II sehingga kini daripada Raja Charles III.


































