Seorang pelajar sekolah di Melbourne sedang melayan telefon pintar ketika Australia berusaha melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada media sosial.
SYDNEY: Jawatankuasa Senat Australia menegaskan platform media sosial tidak boleh memaksa pengguna untuk mengemukakan data peribadi seperti pasport dan pengenalan digital lain untuk membuktikan umur mereka.
Menurut Utusan Malaysia, jawatankuasa tersebut bagaimanapun tetap menyokong rang undang-undang yang akan mengharamkan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun.
Australia merancang untuk menguji sistem pengesahan umur yang mungkin melibatkan biometrik atau pengenalan kerajaan bagi menguatkuasakan had umur penggunaan media sosial.
Dalam laporan yang diterbitkan kelmarin, jawatankuasa perundangan persekitaran dan komunikasi Senat berkata, platform media sosial mesti menetapkan kaedah alternatif untuk memastikan usia sebagai langkah munasabah dengan mengambil kira ujian pengesahan umur.
Laporan mengenai ujian pengesahan umur mesti diserahkan oleh menteri komunikasi kepada Parlimen sebelum 30 September 2025, kata Pengerusi Jawatankuasa Senat, Senator Karen Grogan.
Kerajaan Buruh berhaluan tengah pimpinan Perdana Menteri, Anthony Albanese sedang berusaha keras untuk meluluskan rang undang-undang tersebut, yang turut mendapat sokongan daripada parti pembangkang, sebelum berakhir sidang Parlimen pada Khamis.
Beberapa penggubal undang-undang bebas mengkritik kerajaan kerana cuba meluluskan rang undang-undang itu dalam tempoh seminggu.
Rang undang-undang itu diperkenalkan Khamis lalu, dengan penghujahan mengenainya ditutup pada Jumaat dan satu pendengaran ringkas diadakan pada Isnin.
Sementara itu, Google dan pemilik Facebook, Meta Platforms berkata, larangan media sosial harus ditangguhkan sehingga ujian pengesahan umur selesai.
TikTok Bytedance berkata, rang undang-undang itu memerlukan lebih banyak perbincangan, manakala pemilik X, Elon Musk menyifatkan peraturan tersebut mungkin menjejaskan hak asasi manusia kanak-kanak.


































