STOCKHOLM: Menteri Kesaksamaan Jantina Sweden, Paulina Brandberg dilaporkan mengalami fobia luar biasa terhadap pisang, sehingga tidak boleh berada berhampiran buah tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, fobia aneh itu pertama kali didedahkan Brandberg menerusi ciapan Twitter pada 2020, yang kemudian dipadam.
Namun ia kembali menjadi perhatian selepas akhbar The Expressed melaporkan siri emel bocor yang menunjukkan tahap serius ketakutannya terhadap buah berkenaan.
Menurut laporan, kakitangan Brandberg sering mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan menteri berusia 41 tahun itu tidak terdedah kepada pisang.
Malah, langkah itu termasuk menghantar pesanan awal kepada lokasi dan individu yang dijadualkan bertemu dengannya.
“Tiada kesan pisang dibenarkan berada di bilik tersebut,” tulis kakitangannya dalam surat kepada pejabat Speaker Parlimen Sweden pada September lalu.
Mereka turut mendakwa Brandberg mengalami alahan yang kuat terhadap pisang.
“Kami akan memastikan persidangan bebas daripada sebarang pisang,” kata satu emel daripada kakitangan Brandberg, menegaskan komitmen mereka untuk melindungi menteri itu daripada punca fobianya.
Brandberg enggan memberikan komen lanjut mengenai isu tersebut, namun mengesahkan ia merupakan masalah yang dihadapinya dan akan mendapatkan rawatan perubatan dalam masa terdekat.
Fobia terhadap pisang adalah sesuatu yang jarang berlaku tetapi boleh mencetuskan gejala serius seperti kebimbangan melampau dan rasa loya, termasuk apabila melihat atau menghidu bau buah tersebut.
































