WASHINGTON: Hakim Mahkamah Agung New York, menangguhkan hukuman ke atas Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sebelum ini disabitkan bersalah atas tuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan bagi menutup pembayaran wang sogokan kepada seorang bintang filem lucah.
Menurut Utusan Malaysia, keputusan Hakim, Juan Merchan itu sekali gus menangguhkan hukuman terhadap Trump untuk kali ketiga.
Pendakwa raya pada Selasa menyatakan mereka tidak akan membantah penangguhan tersebut bagi memberi masa kepada peguam Trump mengemukakan hujah undang-undang untuk membatalkan kes itu.
Namun, mereka berikrar untuk menentang sebarang usaha menggugurkan kes tersebut.
“Kami menghormati sepenuhnya Pejabat Presiden, menyedari tanggungjawab serta kewajipan yang dibawa oleh jawatan tersebut, dan memahami bahawa pelantikan Presiden akan menimbulkan persoalan undang-undang yang belum pernah berlaku sebelum ini,” menurut kenyataan pendakwa raya seperti dilaporkan NBC News.
Pejabat Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg, menyatakan kesediaan untuk menangguhkan hukuman sehingga Trump selesai menjalani penggal kedua sebagai Presiden, tetapi peguam Trump menyifatkan tempoh itu terlalu lama untuk menunggu.
Merchan memberikan tarikh akhir pada 2 Disember kepada peguam Trump untuk mengemukakan permohonan membatalkan kes, manakala pendakwa raya perlu memberikan respons pada 9 Disember ini.
Trump sebelum ini didapati bersalah oleh juri Manhattan pada Mei lalu atas semua 34 pertuduhan terhadapnya.
Tuduhan tersebut berkait dengan pembayaran sebanyak AS$130,000 (RM580,839) kepada pelakon filem lucah, Stormy Daniels dengan tujuan mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Presiden 2016.
Trump dijangka mengangkat sumpah sebagai Presiden untuk penggal kedua pada 20 Januari 2025 selepas menang besar menewaskan calon Demokrat, Kamala Harris dalam pilihan raya tahun ini.
































