CHONBURI: Seorang wanita muda nyaris maut selepas sistem navigasi GPS di telefonnya mengarahkan laluan ke dalam sebuah parit ketika dia dalam perjalanan ke rumah rakannya di Ban Choet, Daerah Phanat Nikhom, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian berlaku sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan) apabila Jariya, 25 tahun, yang menunggang motosikalnya terbabas ke dalam parit di tepi jalan yang dipenuhi air.
Pasukan penyelamat dari Sawang Het Thung Hiang segera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan motosikal yang tenggelam di dalam parit sedalam tiga meter di bawah paras jalan.
Menurut laporan, mangsa berjaya keluar dari parit tersebut dengan hanya mengalami calar ringan.
Pasukan penyelamat yang tiba di lokasi menggunakan lampu suluh dan tali untuk menarik motosikal yang tenggelam di dalam air sedalam 1.5 meter dan operasi mengeluarkannya mengambil masa 20 minit.
Jariya menceritakan detik cemas itu apabila GPS di telefonnya menunjukkan laluan pintas ke rumah rakannya.
Bagaimanapun, keadaan jalan yang gelap dan dipenuhi rumput menyebabkan dia tidak menyedari parit tersebut lalu beliau terus mengikut arah anak panah GPS sebelum terjunam ke dalam parit berkenaan.
“Jalan itu sangat gelap dan tidak jelas. Saya hanya ikut apa yang GPS tunjuk,” katanya kepada wartawan.
Chawanakorn Khunwut, sukarelawan penyelamat yang terlibat, menyatakan kawasan tersebut sememangnya gelap dan kurang penyelenggaraan, yang berpotensi mengelirukan pengguna jalan raya yang tidak biasa dengan laluan itu.
Tambahnya, parit itu merupakan kawasan takungan air untuk pertanian dan tidak dilengkapi papan tanda amaran.
Penduduk tempatan serta pengguna jalan raya diingatkan agar lebih berhati-hati dan tidak bergantung sepenuhnya kepada sistem navigasi digital, terutama di kawasan yang kurang penerangan dan penyelenggaraan.


































