WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan akan mencalonkan bekas Peguam Florida dan penyokong setianya, Pam Bondi sebagai Peguam Negara AS untuk menggantikan Matt Gaetz yang menarik diri.
Menurut Utusan Malaysia, Gaetz yang sebelum ini dicalonkan untuk jawatan itu, menjadi subjek siasatan Jawatankuasa Etika Dewan terhadap dakwaan melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur 17 tahun dan penggunaan dadah terlarang.
Beliau bagaimanapun menafikan salah laku tersebut.
Bondi, 59, adalah pegawai penguatkuasa undang-undang tertinggi di Florida dari 2011 hingga 2019 dan berkhidmat di Suruhanjaya Opioid dan Penyalahgunaan Dadah Trump semasa pentadbiran pertamanya.
Peguam wanita itu juga merupakan sebahagian daripada pasukan pertahanan Trump semasa perbicaraan pemecatan pertamanya, di mana beliau dituduh menekan Ukraine untuk menjalankan siasatan rasuah terhadap Presiden, Joe Biden, dengan menahan bantuan ketenteraan.
Trump kemudiannya dibebaskan oleh Senat.
Terbaharu, Bondi membantu mengetuai cabang undang-undang Institut Dasar Pertama Amerika, sebuah badan pemikir berhaluan kanan yang bekerja rapat dengan kempen Trump untuk membantu membentuk dasar bagi pentadbirannya akan datang.
Resume Bondi berbeza dengan Gaetz, yang kurang berpengalaman dan tidak mempunyai reputasi seperti diharapkan daripada seorang peguam negara, malah dijangka menghadapi tentangan daripada Senat Demokrat dan ahli Republikan.
“Bondi pastinya layak untuk jawatan itu di atas kertas. Beliau menghabiskan hidupnya untuk mendakwa kes dan mempunyai resume, berbanding calon sebelum ini,” kata bekas pendakwa raya persekutuan Florida, David Weinstein yang kini bekerja sebagai peguam bela dengan Jones Walker.
Trump mengumumkan pilihan terbaharunya itu di media sosial, memuji Bondi atas pengalaman pendakwaannya dan mengatakan beliau tegas sebagai peguam negara wanita pertama Florida.
Trump, yang menjadi subjek pelbagai siasatan jenayah daripada pendakwa raya AS dan negeri, termasuk sabitan jenayah di New York berkata, Bondi akan menamatkan amalan mempolitikkan pendakwaan persekutuan.
“Terlalu lama, Jabatan Kehakiman (DOJ) yang partisan telah digunakan sebagai senjata terhadap saya dan Republikan lain. Kini tidak lagi,” kata Trump.


































